Johor Bahru: "Pecat Dollah Salleh (ketua jurulatih Harimau Malaya) dan cuba perbaiki apa yang kita mampu sebelum imej bola sepak tanah air semakin hancur," kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu berkata, sudah masanya untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan khidmat jurulatih luar negara berkelayakan untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Malah, Tunku Ismail menegaskan PBNJ sedia membantu FAM mendapatkan bajet bagi menggunakan khidmat jurulatih luar negara yang benar-benar layak.

Kesediaan PBNJ itu susulan kekalahan pasukan kebangsaan yang dibelasah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 10-0 dalam perlawanan ketiga kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, malam tadi.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, khidmat jurulatih luar adalah amat diperlukan untuk membimbing pasukan kebangsaan ketika ini, sekali gus mengeluarkan mereka daripada dibelenggu kekalahan berterusan.

Bagaimanapun, kata Tunku Ismail, kesediaan PBNJ membantu mendapatkan bajet itu datang dengan syarat FAM sedia memberikan semua pasukan yang bertanding dalam negara hak penyiaran yang sepatutnya iaitu antara 70 hingga 80 peratus.

"Setakat untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar dan menguruskan liga tempatan, FAM tidak memerlukan lebih daripada 20 hingga 25 peratus bahagian daripada hak penyiaran," katanya.

Tunku Ismail berkata, selain membantu hal berkenaan, PBNJ juga menggesa FAM menggalakkan setiap kelab dan persatuan bola sepak negeri menumpukan kepada program pembangunan akar umbi dan penambahbaikan kemudahan latihan.

"Dengan hasil daripada hak penyiaran dan juga penajaan, ia mampu dilaksanakan," katanya.

Bagi menguatkan mentaliti pemain kebangsaan pula, Tunku Ismail berkata, satu-satunya perkara yang boleh memupuk sikap profesionalisme mereka adalah dengan menubuhkan akademi yang menitikberatkan pendidikan.

"Pemain sedia ada tidak boleh diselamatkan. Bukan salah mereka, tetapi salah FAM dan semua pasukan termasuk Johor, yang gagal dalam program pembangunan akar umbi sejak dahulu lagi.

"Kita perlukan kepakaran luar dan kita sebagai pendukung bola sepak tanah air perlu mengubah sikap diri sendiri terlebih dahulu sebelum boleh mengubah sikap pemain negara," katanya.

Kekalahan Harimau Malaya dalam perlawanan malam tadi adalah kekalahan terburuk Dollah selepas dilantik sebagai ketua jurulatih sejak Julai tahun lepas, sekali gus menutup peluang Malaysia layak ke Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 8:36 PM