TUNKU Ismail (tengah) mengakui perlu membuat penilaian sebelum membuat pelaburan di Eropah. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
TUNKU Ismail (tengah) mengakui perlu membuat penilaian sebelum membuat pelaburan di Eropah. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan minat untuk pegangan saham bukan sahaja tertumpu kepada kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) , Manchester United, sebaliknya cuba untuk meneroka dalam pegangan saham beberapa kelab di Eropah.

Tunku Ismail berkata, minatnya dalam bola sepak mendorong untuk membabitkan diri dalam pegangan saham di beberapa kelab di Eropah.

"Dan saya rasa sekadar ekuiti saham yang kecil, saya akan membuka ruang bukan saja kepada diri saya sebagai pemilik kelab malah ia akan memberi manfaat kepada JDT.

"Minat itu memang dah lama. Tapi sudah tentu sebelum membuat sebarang pelaburan kami harus membuat penilaian yang mana yang sesuai dan yang mana tidak sesuai. Semua itu ada kebaikan dan keburukan.

"Tetapi bukan saja seperti contoh macam di Valencia ada kebaikan dan keburukan termasuk di Manchester United juga ada kebaikan dan keburukan sama seperti di AC Milan. Semua itu saya kena buat buat penilaian," katanya.

Semalam Tunku Ismail menggemparkan peminat bola sepak negara selepas menyatakan minat dalam pembelian pegangan saham kelab tersohor dalam saingan EPL menerusi Instragram miliknya.

Tunku Ismail menegaskan apa jua keputusan Baginda akan memikir dengan lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan namun secara dasarnya keinginan memiliki pegangan saham tidak pernah pudar beberapa kelab di Eropah walaupun kecil.

"Kenapa saya sebut Manchester United sebab saya tahu ada tawaran dalam dua atau lima peratus. Malah kelab berkenaan mempunyai sejarah tersendiri dan akan memakan masa yang lama seandai nilai komersil jatuh.

"Manchester United adalah kelab yang begitu ampuh dan sebab itu saya rasa akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan. Kita tengok bagaimana saya rasa tawaran yang lebih menarik pada masa akan datang.

"Ya .. pasti akan ada pegangan saham kelab-kelab di Eropah. Tapi kelab yang elit dan saya tak nak kelab yang divisyen dua atau kelab bawahan. Itu adalah cita-cita saya daripada dahulu.," kata Tunku Ismail.

Mengenai status pemilikan kelab Valencia, Tunku Ismail berkata, pintu perbincangan masih terbuka kerana Baginda enggan mengambil alih kelab yang masih berdepan isu yang belum selesai.

"Jika masalah pandemik Covid-19 selesai, saya akan ke Eropah seperti saya lakukan sebelum ini untuk berbincang dengan beberapa kelab...tunggu sajalah," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 6:10 PM