BEBERAPA premis yang didapati menggajikan pekerja warga asing tanpa permit. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
BEBERAPA premis yang didapati menggajikan pekerja warga asing tanpa permit. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Ramai buruh asing masih bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur dan premis perniagaan di sekitarnya, walaupun kawasan itu berulang kali 'digempur' pihak berkuasa.

Situasi itu dipercayai terus berleluasa berikutan tidak ramai warga tempatan khususnya golongan belia yang mahu bekerja atau mampu bertahan lama melakukan kerja-kerja di pasar berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di beberapa premis berhampiran pasar berkenaan mendapati, ada warga tempatan yang bekerja di kawasan itu, namun jumlahnya sedikit, jika dibandingkan dengan warga asing.

Difahamkan, rata-rata pekerja asing terbabit adalah pendatang asing tanpa izin (Pati) atau warga asing yang menyalahgunakan permit kerja, antaranya sektor pembersihan dan pembinaan, namun bekerja di pasar berkenaan.

Pengurus sebuah kedai sayur, Keong, berkata, dia terpaksa mengeluarkan modal bagi mengambil warga asing sebagai pekerja yang sah kerana sukar untuk menarik warga tempatan bekerja dalam bidang itu, walaupun gaji ditawarkan bermula RM2,500.

"Orang kita tidak mahu bekerja begini, mereka tidak minat, mereka lebih suka kerja penghantar makanan boleh keluar (bekerja) sesuka hati.

"Bukan tak cari (pekerja tempatan) tetapi susah nak jumpa. Di sini, ada dua pekerja warga asing dan beberapa pekerja tempatan yang bekerja lapan jam dari 10 pagi hingga 6 petang," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, hari ini.

Keong,30-an, berkata, sebelum ini mereka menggajikan warga asing tanpa permit, namun sudah serik selepas disaman pihak berkuasa yang melakukan operasi penguatkuasaan.

"Kita terpaksa ambil warga asing, tak apalah keluar wang lebih sedikit kerana kami tidak mahu ambil pekerja tanpa permit lagi, kami dah serik disaman.

"Setakat ini, pekerja kami dua orang dari Nepal, kami bayar RM2,200, dan sudah beberapa tahun mereka bekerja dengan kami," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan pekerjanya melarikan diri selepas mendapat permit, dia berkata, mereka terpaksa mengambil risiko itu untuk memastikan perniagaan mereka beroperasi dengan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 9:36 AM