Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly (gambar) perlu berusaha lebih gigih jika ingin bersaing pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Latif kini perlu melepasi catatan 7.52 meter dan bersaing dengan atlet normal Luqman Hakim Ramlan yang sudah melepasi syarat kelayakan ke KL2017.

Luqman mencatat lompatan 7.62m untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Lumut, kelmarin.

Berdasarkan kedudukan pingat dua tahun lalu di Singapura, lompatan Luqman berkedudukan pingat perak mengatasi pencapaian atlet dari Vietnam Pham Van Lam, 7.52m.

Manakala pencapaian terbaik Latif yang juga pemenang pingat emas Paralimpik Rio adalah di Terbuka Perak 7.40m Februari lalu.

Bagaimanapun Latif menegaskan biarpun sudah bersedia bersaing dengan atlet normal, dia perlu memberi fokus kepada Kejohanan Dunia di London Julai ini terlebih dulu.

Misinya adalah mempertahankan emas seterusnya memecahkan rekod dunia miliknya 7.35m yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha.

Atlet kelahiran Perlis itu berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah untuk fokus kepada latihan yang sudah memasuki fasa latihan keras dan mengikuti segala arahan daripada jurulatih Syahrul Amri Mohd Suhaimi.

“Jurulatih tahu apa yang perlu dilakukan dan saya serahkan sepenuhnya kepada beliau. Ketika ini tiada perancangan untuk menjalani latihan di luar negara dan jika ada saya hanya mengikut saja.

“Saya mahu mempertahankan emas di Kejohanan Dunia terlebih dulu dan kemudian baru memikirkan mengenai Sukan SEA,” katanya.

Pencapaian terbaik Latif adalah 7.60m ketika temasya Olimpik Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 8:52 AM