DARI kiri Ridzuan, Ziyad, Latif (kanan sekali) menyambut  Hari Raya Aidilfitri di MSN.
DARI kiri Ridzuan, Ziyad, Latif (kanan sekali) menyambut Hari Raya Aidilfitri di MSN.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas tidak beraksi dalam beberapa kejohanan akibat kecederaan, atlet paralimpik Abdul Latif Romly sudah bersedia untuk mengibar cabaran di Kejohanan Paralimpik Dunia di London yang akan membuka tirai kejohanan pada 14 hingga 23 Julai ini.

Latif akan berlepas bersama skuad paralimpik dunia terdiri daripada Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Ziyad Zolkifli ke London hari ini dan mempunyai tempoh yang cukup untuk menyesuaikan dengan cuaca di situ.

Namun, Latif mengaku wujudnya tekanan dan perasaan berdebar selepas lama tidak menyertai kejohanan kompetitif.

Begitupun, anak kelahiran Perlis itu akan cuba untuk fokus kepada lompatan dan juga latihan bagi memastikan emas yang dimenanginya dua tahun lalu ketika di Doha dapat dipertahankan.

“Memang susah nak cakap keadaan ketika ini sebab saya sudah lama tidak menyertai pertandingan. Hanya dengan pertandingan kita akan dapat tahu bagaimana tahap keadaan badan saya.

“Jadi memang terasa sedikit tertekan tapi dalam masa yang sama saya tidak sabar untuk beraksi. Perasaan membuak-buak sekarang ini,” katanya.

Latif terpaksa mengetepikan beberapa kejohanan penting antaranya Kejohanan Grand Prix Olahraga Dunia IPC di Paris dan Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand.

Pemenang pingat emas Paralimpik Rio dalam acara lompat jauh itu dikhabarkan mengalami kecederaan buku lali ketika menjalani latihan sejak Mac lalu.

Selepas menjalani rawatan rapi di Institut Sukan Negara (ISN) Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz sudah memberi lampu hijau buat atlet berkenaan menyertai mana-mana pertandingan.

Dua tahun lalu, Latif berjaya memenangi gelaran juara dunia dengan jarak lompatan 7.35 meter (m).

Bagaimanapun, dia dilihat tidak berdepan masalah memperbaharuinya berdasarkan kejayaan meraih emas ketika di Olimpik Rio dengan jarak lompatan 7.60m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 11:45 AM