LATIF giat jalani latihan di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. -Foto OSMAN ADNAN
LATIF giat jalani latihan di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil. -Foto OSMAN ADNAN
Mohamad Zulfaizan Mansor


JAGUH lompat jauh negara, Abdul Latif Romly menjelaskan dia sedang memperkemaskan teknik lompatan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan membuka tirai secara rasmi, 19 Ogos ini.

Abdul Latif berkata, teknik lompatan adalah perkara paling utama dalam menentukan keputusan yang akan dicapai di temasya itu nanti.

Malah, pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Para 2017 di London itu turut menegaskan betapa dia sama sekali tidak memikirkan soal untuk mendapatkan pingat pada temasya dwitahunan itu kerana tidak mahu dibelenggu tekanan.

“Sekarang ini saya fokus kepada usaha memperkemaskan teknik lompatan. Kalau teknik lompatan tidak betul, susah untuk saya mendapat keputusan yang baik.

“Saya memang tidak meletakkan sasaran untuk mendapatkan pingat dan hanya mahu cuba mengatasi rekod lompatan 7.6 meter yang saya lakukan di Sukan Paralimpik Rio.

“Cuma saya fikir, kalau dapat pingat itu hanya bonus kepada saya yang kali pertama menyertai Sukan SEA,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan Exco Belia dan Sukan negeri Perlis, Datuk Abdul Jamil Saad di Majlis Sukan Negara (MSN).

Abdul Latif melakar kejayaan manis di peringkat antarabangsa selepas meraih emas bagi acara lompat jauh T20 lelaki pada temasya Sukan Paralimpik Rio dengan rekod dunia 7.60 meter, September tahun lalu.

Malah, dia terus mengharumkan nama negara di London bulan lalu apabila meraih emas di Kejohanan Olahraga Para 2017 dengan lompatan sejauh 7.37 meter.

Mengulas lanjut mengenai kunjungan Abdul Jamil ke MSN semalam, Abdul Latif menganggap ia sebagai penghormatan besar kerajaan negeri Perlis.

“Sebagai atlet, kami sudah berlatih bersungguh-sungguh dan sekarang ini kami sangat memerlukan sokongan tambahan daripada semua pihak.

“Jadi, kunjungan daripada Datuk Abdul Jamil sudah pasti menyuntik moral dan motivasi terbaik kepada kami untuk mencipta kejayaan pada Sukan SEA nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 5:41 PM