Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Biarpun sudah bergelar jutawan, atlet lompat jauh Paralimpik Abdul Latif Romly masih tetap seperti dulu.

Jurulatihnya Syahrul Amri Mohd Suhaimi berkata, anak didiknya itu tidak menjadikan status terkininya untuk mengabaikan latihan, sebaliknya berusaha lebih keras dengan sasaran bersaing di Sukan SEA 2017.

Namun Syahrul berkata, bukan mudah buat Latif yang mempunyai masalah pembelajaran (T20) kerana temasya dwitahunan itu menjanjikan cabaran berbeza apabila perlu bersaing dengan atlet normal.

Biarpun catatan 7.60 meter dilakukannya ketika beraksi di Paralimpik Rio itu membolehkannya berkedudukan perak jika dilihat pencapaian Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu diambil kira, namun itu bukan tiket untuk Latif meraih pingat.

Kata Syahrul, beliau tidak mahu memberi tekanan terhadap Latif kerana kekurangan diri menyebabkan bukan mudah untuk anak didiknya itu bersaing dengan atlet normal.

“Jika mengikutkan ranking Sukan SEA, Latif kini di ranking nombor dua tapi saya tidak berani cakap dia akan menang pingat.

“Saya juga berharap jangan terlalu memberi harapan tinggi kerana jika terpilih, ia kali pertama Latif beraksi di Sukan SEA ketika atlet lain sudah cukup berpengalaman berbanding dia yang baru 19 tahun,” katanya.

Namun bagi Syahrul, peluang buat Latif tetap ada seandainya dia mampu memberi lompatan konsisten.

Pada temasya Sukan SEA lalu, emas dimenangi atlet Thailand Supanara Sukhasvasti dengan lompatan 7.75m, Pham Van Lam dari Vietnam perak (7.52m) manakala Donovant Arriola Jr, Filipina gangsa (7.51m).

Catatan 7.60m yang dibuat Latif di Rio itu turut menyaksikannya mencatatkan rekod baru dunia Paralimpik. Sebelum itu, dia turut menyumbang emas kepada kontinjen Perlis ketika beraksi di temasya Sukan Malaysia, Sarawak, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 8:30 AM