LATIF tekad baiki lompatan.
LATIF tekad baiki lompatan.
Mohd Khairie Khalid


JAGUH paralimpik negara, Abdul Latif Romly mahu memastikan dirinya berupaya memecahkan catatan peribadi terbaik pada 2018 tatkala gagal merealisasikan impian itu sebelum ini.

Latif menyifatkan secara keseluruhan dia berpuas hati dengan pencapaian pingat diraih sepanjang 2017, namun masih gagal memperbaiki catatan miliknya itu dengan lompatan sejauh 7.60 meter (m).

Atlet kelahiran Perlis itu mencipta jarak berkenaan yang juga rekod dunia apabila merangkul pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di temasya Sukan Paralimpik Rio 2016.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana dapat mempertahankan pingat emas di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) dan menjadi juara di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

“Tapi daripada segi lompatan, saya tidak puas hati kerana sasaran saya untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik iaitu 7.60m di Rio tidak kesampaian. Saya juga pernah mengalami kecederaan buku lali pada 2017, tapi Alhamdulillah ia sudah pulih,” kata Latif ketika dihubungi, hari ini.

Justeru itu, atlet kelahiran Bukit Keteri itu melaungkan harapan untuk memperbaharui catatan itu di dua kejohanan utama pada 2018 iaitu Sukan Malaysia (SUKMA) Perak dan Sukan Para Asia Indonesia.

“Selepas ini saya perlu lebih banyak berlatih kerana saya hendak capai sasaran baiki rekod peribadi. Untuk musim 2018, saya akan sertai SUKMA yang terakhir dan Sukan Para Asia.

“Sudah tentu dalam kedua-dua kejohanan saya mahu pertahankan pingat emas dan perbaharui rekod kejohanan,” kata Latif yang dijadual menjalani beberapa siri latihan di Jerman, Februari ini.

Untuk rekod, Latif, 20, memenangi pingat emas Para KL2017 dengan jarak lompatan sejauh 7.41m dengan menewaskan Suhairi Suhaini dari Singapura (6.85m) manakala gangsa milik rakan senegara, Zulkifly Abdullah (6.51m).

Walaupun catatan itu tidak membaharui rekod temasya 7.43m yang dicatatnya di Singapura pada 2015, namun kejayaan itu membolehkannya meraih gelaran hatrik selepas turut memenangi emas di Singapura dan Myanmar 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 5:59 PM