ARTIS otai perlu tahu kemampuan diri sebelum buat sebarang keputusan.
ARTIS otai perlu tahu kemampuan diri sebelum buat sebarang keputusan.
Syafil Syazwan Jefri


Nama mereka besar, begitu juga dengan bakat mereka. Namun, kebanyakan artis senior kita yang sudah berada di kelas tersendiri ini dilihat semacam enggan lagi muncul dengan lagu baru walaupun peminat tetap rindu suara mereka.

Adakah kerana mereka khuatir berdepan dengan cabaran dunia hiburan generasi baru?

Apakah juga kerana mereka kecewa dengan senario dunia nyanyian hari ini yang sudah banyak berubah berbanding zaman kegemilangan syarikat rakaman?

BLING! mendapatkan komen beberapa artis terbabit.

Nassier Wahab

“Satu ketika dahulu, kita ada pegawai perhubungan awam (PRO), pengurus dan sebagainya yang menguruskan kerjaya sebagai penyanyi. Semua diuruskan syarikat rakaman.

Namun kini untuk hasilkan lagu baru, artis perlu keluarkan kos sendiri, begitu juga untuk kerja promosi. Itu semua tidak akan bergerak kalau tiada bajet dan tenaga.

Dengan usia sudah senior seperti sekarang, saya tidak berdaya lagi untuk pergi berdepan bertemu dengan penyampai-penyampai radio untuk mempromosikan lagu.

Malah ada antara penyampai radio baru yang tidak mahu memainkan lagu artis lama kerana kononnya orang tidak akan dengar.

Mereka bagai tidak menghargai dan tak sedar mengenai artis lama yang pernah melalui zaman kegemilangan. Tapi bukan semuanya bersikap sebegitu, segelintir saja.

Kalau untuk keluarkan lagu baru, kita perlukan komitmen yang sangat tinggi. Kena fikirkan kemampuan diri sendiri betul- betul sebelum buat keputusan untuk keluar dengan lagu baru. Kalau rasa mampu, silakan.

Untuk saya sendiri, sudah 30 tahun bekerja keras mencari rezeki. Saya selesa dengan apa yang saya ada sekarang.”

Liza Hanim

“Pada saya, mungkin setiap orang ada perancangan dan komitmen sendiri yang tidak membolehkan mereka hadir dengan lagu baru.

Untuk saya, saya lebih memberi fokus kepada perniagaan dan keluarga. Kalau nak keluarkan lagu baru boleh, cuma saya perlu mencari masa yang sesuai dan perlu susun jadual.

Sejujurnya, saya tidak pernah fikir pula saya ada orang boleh terima atau tidak, tetapi yang paling penting adalah promosi.

Kalau rangka promosinya berjalan dengan baik, Insya-Allah, lama-kelamaan, ia akan diterima dengan baik.”

Jamal Abdillah

“Pada pendapat saya, ada dua sebab utama kenapa sesetengah artis lama takut untuk hadir dengan lagu baru.

Pertama, peminat zaman sekarang lagi gemar memuat turun lagu berbanding membeli album secara fizikal. Jadi, ramai artis menganggap ia tidak berbaloi untuk keluarkan lagu baru.

Sebab kedua adalah kerana stesen radio yang kebanyakannya, dihuni oleh penyampai muda. Kebanyakan mereka tidak lagi memandang lagu artis veteran.

Kalau nak dikatakan saya takut untuk berdepan dengan peminat generasi baru, itu tidak juga kerana beberapa tahun lalu, saya pernah berkolaborasi dengan Malique menerusi lagu Aku Maafkan Kamu dan ia diterima dengan baik.

Kalau saya ingin menembusi pasaran peminat generasi muda, saya tak nafikan, mungkin saya perlu berkolaborasi semula dengan artis ataupun komposer muda.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 1:21 AM