NAJWA Latif akui kini kurang publisiti kerana tiada kisah mengenai produk baru untuk dikongsi.
NAJWA Latif akui kini kurang publisiti kerana tiada kisah mengenai produk baru untuk dikongsi.
Oleh Wahi Aziz


Bukan Najwa Latif sengaja menjauhkan diri daripada kekerapan publisiti lewat ini. Jauh sekali untuk penyanyi dan penulis lagu berbakat besar ini menolak liputan media terhadapnya.

Cuma, bagi pemilik nama penuh Imratul Najwa Abdul Latif ini, selepas lima tahun berkecimpung dalam seni suara, keadaan tidak lagi mendesak untuknya mencanangkan perkembangan dirinya melainkan apabila ada lagu atau produk seni yang baru.

“Saya akui jarang sangat cerita mengenai diri saya dipaparkan di media dalam masa setahun dua ini. Tapi kalau di TV, radio atau acara pentas, saya tetap aktif macam dulu juga.

“Saya okey saja dengan keadaan itu sebab tidak ada kisah mengenai produk baru untuk dikongsi, apa lagi cerita menarik yang ada.

“Kebetulan pula saya bukan jenis yang ada cerita sensasi atau gosip yang membuatkan saya selalu diburu media. Jadi saya selesa macam ini saja,” katanya.

Penyanyi yang mencipta fenomena menerusi lagu Cinta Muka Buku ini berkata, sebaliknya dia melihat ruang publisiti itu wajar dikongsi dengan selebriti lain terutama yang masih baru.

“Alhamdulillah, kini, orang sudah kenal saya. Jadi tidak ada masalah sangat setiap kali hendak keluarkan lagu baru.

“Bukan tidak perlukan publisiti cuma apabila tiada benda menarik hendak dikongsi, boleh juga ruang itu diberi kepada artis lain terutama yang baru bermula,” katanya.

Namun, kongsi Najwa, dia terharu apabila kerjanya terus mendapat sokongan dan sambutan baik setiap kali lagu barunya dilancarkan.

“Sebagai contoh, apabila lagu terbaru berjudul Satu dilancarkan bulan lalu, saya sangat bimbang mengenai penerimaan peminat, tapi ternyata ia disukai ramai.

“Saya bimbang sebenarnya apabila hendak keluarkan produk baru sebab faktor publisiti juga sama penting supaya orang tahu saya tetap aktif.

“Saya juga bersyukur masih mendapat tempat di hati peminat walaupun jarang ada publisiti seperti awal dulu, perhatian dan sokongan tetap memberangsangkan daripada peminat,” katanya.

Katanya, sebagai melengkapi profil kerjaya, lagu Satu itu bakal melengkapi senarai lagu dalam album keduanya yang dipasarkan pada awal tahun depan.

“Sudah tiba masanya, saya muncul dengan album kedua. Insya-Allah, jika diizinkan, album itu akan dipasarkan pada awal tahun depan.

“Lagu ke-10 saya itu, Satu akan dimuatkan dalam album baru nanti. Menariknya, dalam album itu nanti menampilkan satu lagu bahasa Inggeris.

“Susunan muziknya akan memperlihatkan kematangan saya dalam muzik. Saya harap ia diterima, sekali gus mengembangkan kerjaya saya,” katanya yang masih menuntut di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:55 AM