MILEY Cyrus
MILEY Cyrus
Michelle Gun

Artis memadamkan semua gambar dalam akaun peribadi media sosial bukan perkara baru.

Sama ada artis tanah air mahupun luar negara, tindakan mereka pasti menimbulkan tanda tanya kepada peminat, tidak kurang juga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Ada yang bertindak memadamkan akaun media sosial buat sementara waktu selepas tidak tahan dikecam netizen dan kembali aktif selepas keadaan reda.

Baru-baru ini, penyanyi dan pelakon terkenal Amerika Syarikat, Miley Cyrus membuang ratusan gambar dalam akaun Instagram (IG) miliknya, Jumaat lalu.

Ia juga termasuk gambar penyanyi berusia 25 tahun itu bersama tunangnya, Liam Hemsworth.

Bagaimanapun, hubungan Miley dengan tunangnya masih baik kerana gambar pasangan berkenaan masih ada di akaun peribadi media sosial Hemsworth.

Walaupun akaun terbabit kini kosong, jumlah lebih 76.2 juta pengikut Miley masih kekal.

Gambar profil Miley juga ditukarkan kepada imej berwarna hitam.

Penyanyi Wrecking Ball itu turut melakukan perkara sama terhadap gambar profil dan ‘header’ akaun Twitter miliknya. Bagaimanapun, status Twitter masih ada.

Pada masa sama, pengikut Miley turut mendapati laman web penyanyi terbabit tidak aktif.

Tindakan ‘misteri’ Miley membuatkan peminat berteka-teki penyanyi kesayangan mereka itu mungkin akan muncul dengan buah tangan baru.

Ini kerana sudah setahun Miley belum melancarkan lagu baru selepas album Younger Now, tahun lalu.

Terdahulu, pelakon terkenal menerusi watak Hannah Montana itu memberitahu BBC Radio 1 dia sibuk menghasilkan lagu baru.

“Saya kini berfikir apa yang perlu dilakukan seterusnya,” kata Miley.

Majalah US Weekly turut melaporkan penyanyi itu berkolaborasi dengan Mark Ronson di studio yang merakamkan lagu Lady Gaga di New York.

Sebelum ini, penyanyi terkenal Taylor Swift turut menggunakan taktik sama sebelum melancarkan single Reputation, Ogos lalu.

Begitu juga dengan pelakon Blake Lively yang bertindak mengosongkan akaun Instagram miliknya. Malah, Lively turut ‘unfollow’ suaminya, Ryan Reynolds.

Tidak lama selepas itu, filem terbaru lakonan Lively, A Simple Favor diumumkan akan ditayangkan pada September ini.

Biarpun taktik sedemikian sudah dijangkakan hanya gimik, ia tetap menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 11:56 AM