Oleh Amirul Haswendy Ashari


Lepas hampir 20 tahun tidak muncul dengan lagu baru, penyanyi yang pernah popular dengan Ditakdirkan Kita Bersama sekitar 1990-an, Mac Ruhayu mahu kembali ke pesada muzik tanah air.

Pun begitu, projek terbaru itu bukan secara sendiri, sebaliknya dia memilih untuk berduet dengan bakat baru yang dicungkil menerusi pelbagai medium.

Katanya, kemunculan semula ketika ini dirasakan sesuai kerana umurnya kini mencecah 40 tahun. Dia mahu tampil dengan bahan baru, sekali gus memberi sokongan kepada penyanyi baru.

Untuk projek pertama, Mac berduet dengan Sam Nasir, 22, yang dicungkil daripada projek bakat baru anjuran Watch.com.

“Bagi saya, Sam bersuara lunak. Kali pertama dengar suaranya menyanyikan lagu ciptaan sendiri, saya terus jatuh cinta.

“Dia juga berbakat kerana berkemampuan mencipta lagu yang sesuai dengan jiwa dan usia saya kini.

“Lagu menjerit macam dulu tidak lagi sesuai untuk saya. Saya nak tenang dan bersahaja. Lagipun saya mahu bantu bakat baru yang ada,” katanya dengan gembira.

Selain Sam, Mac ada projek dengan penyanyi bahasa Iban, genre kerohanian dan banyak lagi. Dia kini menyiapkan album itu sedikit demi sedikit.

Katanya, dia menemui Sam ketika sesi pemilihan bakat baru bawah pengurusan Watch.com untuk projek membawa artis mereka yang baru dan muda mewakili Malaysia ke China.

Apabila di China, lagu baru ciptaan mereka akan dijual kepada penyanyi negara itu dan dinyanyikan dalam bahasa Mandarin atau Kanton.

“Namun disebabkan ada masalah dan terpaksa menunggu lama, saya rasa lebih baik mengambil peluang ini dan bergerak ke depan.

“Kami sama-sama akan keluarkan belanja sama rata, tiada istilah seorang saja yang keluarkan bajet untuk keluarkan lagu sendiri,” kata penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu yang juga mengakui apa yang dilakukannya berbeza dengan rakan artis yang menggunakan peluang berduet untuk kembali ke persada muzik tanah air.

Katanya, kebanyakan artis yang buat ‘comeback’ berduet dengan lagu popular mereka sendiri tapi diberi nafas baru seperti susunan muzik, elemen rap dan sebagainya.

Berbeza dengannya, dia menyanyikan lagu 100 peratus baru dan tiada istilah menyanyikan semula laguyang pernah dipopularkannya.

“Semua lagu dalam projek ini adalah duet sebab mahu mengetengahkan konsep sehati sejiwa. Untuk album itu nanti, akan ada lima lagu duet dan satu lagu solo setiap artis yang saya berduet bersama.

“Oleh itu, kalau kami keluar untuk mempromosi album itu, kami bergerak dalam satu pasukan. Saya tidak berupaya bergerak seorang, jadi lebih baik saya bekerjasama dengan mereka yang benar-benar berbakat tapi tiada peluang sebelum ini,” katanya.

Selepas senyap daripada dunia muzik tanah air hampir dua dekad lalu, Mac yang kini berstatus ibu tung­gal kepada empat anak lelaki, menyara hidup dengan menyanyi di kelab malam dan majlis tertutup saja.

Terbaru, dia menghiburkan pengunjung setiap Rabu malam di Number 8, Hotel Suite Acapella, Shah Alam, Selangor.

Selepas mengambil keputusan untuk berhijab tahun lalu, dia juga menumpukan perhatian pada pembuatan kek lapis Sarawak menggunakan jenama sendiri.

“Kerjaya seni tetap kerjaya seni. Saya tidak pernah berhenti menyanyi, cuma tiada pendedahan di media massa. Namun masa sama, saya juga jalankan bisnes kek lapis Sarawak.

“Saya jarang muncul dalam acara hiburan kerana kalau saya pergi sekalipun, untuk apa? Kalau sekadar untuk meriahkan majlis, lebih baik saya buat kek di rumah. Sekurang-kurangnya dapat duit untuk sara keluarga,” katanya.

Bagi Sam, peluang ditawarkan Mac adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkannya.

Bakat muda dari Kota Bharu, Kelantan itu akui pernah menghasilkan single sendiri tapi tidak mendapat perhatian daripada stesen radio tempatan.

“Peluang begini susah nak dapat. Memang selama ini saya menantikan satu ‘momen’ yang boleh membuatkan orang hargai bakat saya tapi sentiasa ada halangan.

“Saya pernah pergi uji bakat AF (Akademi Fantasia) tahun lalu tapi tercicir gambar, tahun ini pula kakak saya kahwin pada tarikh uji bakat diadakan.

“Pada uji bakat Mentor, saya pernah ditegur Ajai sebab tiada keyakinan diri biarpun dikatakan mempunyai suara yang bagus,” kata Sam mengimbau kisah lalu.

Tanpa berselindung,

Sam yang bekerja sebagai pegawai jualan di kedai barangan elektrik akui kelemahannya kurang keyakinan diri lantas membuatkan dia sering tertinggal ke belakang berbanding orang lain.

Namun sejak berkenalan dengan Mac, dia banyak belajar cara untuk pertingkatkan keyakinan diri, terutama apabila beraksi di pentas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:02 AM