Penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut membuat pemeriksaan di restoran nasi kandar yang kotor dan berbau. FOTO Zulaikha Zainuzman
Penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut membuat pemeriksaan di restoran nasi kandar yang kotor dan berbau. FOTO Zulaikha Zainuzman
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Dua restoran nasi kandar termasuk sebuah restoran popular di Pulau Pinang diarahkan tutup dua minggu selepas didapati kotor dalam operasi di Jalan Penang, di sini, pagi tadi.

Operasi jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu membabitkan sepasukan 20 pegawai dan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ahli Majlis MBPP, Oh Ah Teong berkata, dalam operasi itu, tiga restoran nasi kandar sekitar Jalan Penang diperiksa terutama membabitkan bahagian dapur, stor dan penyediaan makanan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya mengarahkan dua restoran nasi kandar ditutup sementara waktu selepas menemui najis dan bangkai tikus serta lipas di bahagian dapur dan stor.

Katanya, kes berkenaan seterusnya akan dipantau Jabatan Kesihatan Negeri Daerah Timur Laut untuk tindakan selanjutnya.

"Tindakan penutupan premis diambil mengikut Seksyen 11B Akta Makanan 1983 dan sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Kami turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM1,340 ke atas sebuah restoran nasi kandar kerana tiga pekerja tidak menerima suntikan selain perangkap serangga tidak berfungsi," katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 2:44 PM