PELANGGAN mengunjungi  RNKLC selepas dibuka semula.
PELANGGAN mengunjungi RNKLC selepas dibuka semula.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: “Kami beri jaminan tahap kebersihan Restoran Nasi Kandar Line Clear (RNKLC) sentiasa dipantau supaya peristiwa hitam tidak berulang lagi,” kata pengusaha RNKLC, Sahubar Ali Mohd Hanibah, semalam.

Sahubar Ali, 59, berkata, arahan Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya RNKLC ditutup dua minggu selepas operasi kebersihan diadakan Isnin lalu, memberi kesan dan pengajaran.

Menurutnya, nama baik dan imej RNKLC terjejas teruk dan pihaknya menanggung kerugian hampir RM10,000 akibat penutupan premis namun reda dan akur dengan kesilapan itu.

Katanya, mereka memberi jaminan isu kebersihan tidak berulang lagi selepas kerja pembersihan, pengubahsuaian dan pembaikan dilakukan sejak Isnin lalu.

“Tiga hari ditutup memberi kesan mendalam kepada RNKLC sehingga pelbagai tuduhan dan penghinaan dilemparkan kepada kami namun kami cekal menghadapi segala-galanya.

“Kami bersyukur selepas pembersihan, RNKLC dapat beroperasi semula selepas notis penutupan ditarik balik Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut petang semalam (kelmarin),” katanya pada sidang media semalam.

Hadir sama, waris keluarga RNKLC, Pathumah Iskandar, 70; Jumah Bee Kalanda Mastan, 43, dan Mohamad Noor Hassan, 40.

Mohamad Noor berkata, penutupan RNKLC pada Isnin lalu memberi kesan apabila pelanggan berkurangan hampir 40 peratus selepas isu penutupan RNKLC tular dalam laman sosial.

Baginya, apa yang penting sekarang, operasi pembersihan dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya keseluruhan premis sentiasa dalam keadaan baik dan bersih.

“Kami berusaha mengatasi isu ini dan turut melantik syarikat swasta bagi pemantauan dan pemeriksaan berskala bersama MBPP.

“Kami berharap pelanggan mengunjungi RNKLC dan merasai kenikmatan nasi kandar popular di Pulau Pinang sejak lebih 70 tahun lalu,” katanya.

RNKLC di Jalan Penang dibenarkan beroperasi semula selepas notis penutupan ditarik balik Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut pada 3.15 petang, Khamis oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U32, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Mohd Azalan Mohd Saad.

Terdahulu, operasi pembersihan premis dimulakan sejak Isnin lalu oleh Sahubar Ali selepas diarahkan Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan MBPP supaya menutup RNKLC kerana gagal mematuhi tahap kebersihan ketika diperiksa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:36 AM