Antara menu popular RNKLC yang memulakan operasi hari ini selepas diarah tutup kerana tidak menjaga kebersihan. FOTO Mikail Ong
Antara menu popular RNKLC yang memulakan operasi hari ini selepas diarah tutup kerana tidak menjaga kebersihan. FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin / 17.3.2017


Georgetown: Restoran Nasi Kandar Line Clear (RNKLC) Jalan Penang, terus dikunjungi orang ramai selepas beroperasi semula sejak pagi tadi.

Operasi perniagaan bermula jam 9 pagi itu ternyata seperti membawa tuah dan rezeki kepada pengusaha, Sahubar Ali Mohd Hanibah apabila pelbagai lapisan masyarakat datang menikmati dan terus mempercayai RNKLC.

Sahubar Ali, 59, berkata, arahan penutupan dua minggu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas pemeriksaan Isnin lalu mendapati RNKLC kotor.

Beliau berkata, selepas dibenarkan beroperasi semula, pihaknya memberi jaminan kebersihan akan sentiasa diberikan perhatian dan menjadi keutamaan.

“Tidak dinafikan kami menanggung kerugian kira-kira RM10,000 kerana terpaksa ditutup, namun reda segala ujian dari Allah SWT dan yakin sokongan pengunjung akan terus diberikan.

“Jemputlah datang ke RNKLC dan merasai kenikmatan nasi kandar popular di Pulau Pinang sejak lebih 70 tahun lalu,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 5:47 PM