Sazali (tengah) bersama Joannes (kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Program Gerah dan Kempen Gempur di Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Sazali (tengah) bersama Joannes (kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Pelancaran Program Gerah dan Kempen Gempur di Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Avila Geraldine

HANYA 24 penjawat awam di Sabah melaporkan berkaitan amalan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak insentif ‘ringgit ke ringgit’ kepada pemberi maklumat diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi berkata, insentif itu dibuat SPRM bagi menggalakkan kakitangan kerajaan membuat laporan berkaitan kes rasuah kepada SPRM, bagaimanapun tidak ramai yang berbuat demikian.

“Di Sabah, hanya 24 orang yang membuat laporan kepada kita dan mereka adalah daripada pihak penguat kuasa dan pasukan keselamatan seperti polis, imigresen dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Setakat ini kita belum menerima laporan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya selepas melancarkan Kempen Gerah dan Gempur di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joannes Solidau, di Kota Kinabalu hari ini.

Sementara itu, Sazali berkata, SPRM perlu melakukan lebih banyak lagi usaha bagi menggalakkan lebih ramai penjawat awam tampil membuat laporan walaupun insentif RM500 sebagai ganjaran sudah diumumkan.

Mengenai insentif tertinggi yang pernah diberikan kepada pemberi maklumat di Sabah, beliau berkata, pihaknya memberi ganjaran sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam.

“Pada tahun ini, SPRM menjangka untuk memberi ganjaran kepada pegawai polis yang membuat laporan berkaitan rasuah yang membabitkan jumlah wang sebanyak RM25,000. Pegawai polis itu ditawarkan wang itu oleh seorang pemilik bot yang cuba menyeludup tangki gas,” katanya sambil menambah kes rasuah di Sabah, terkawal.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya yakin dapat menyelesaikan siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) pada akhir bulan ini, sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 4:07 PM