NORAZLAN menyerahkan sijil kepada  Muhammad Dzul Aiman pada Majlis Penutup Program Intervensi Pengurusan Dana Dalam Pertubuhan Belia: Gerakan Anti Rasuah Anak Muda Zon Utara di Pejabat SPRM Pulau Pinang, hari ini.  FOTO Ihsan SPRM
NORAZLAN menyerahkan sijil kepada Muhammad Dzul Aiman pada Majlis Penutup Program Intervensi Pengurusan Dana Dalam Pertubuhan Belia: Gerakan Anti Rasuah Anak Muda Zon Utara di Pejabat SPRM Pulau Pinang, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melaksanakan program pengurusan dana dalam pertubuhan belia dan gerakan anti rasuah anak muda di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, ia sebagai usaha mendidik golongan muda mencegah rasuah dalam pengurusan dana pertubuhan, selain menggerakkan peranan mereka menyebar luas mesej anti rasuah secara aktif dan berterusan.

"Belia perlu tahu masalah rasuah di negara ini tanpa terselindung. Tanggungjawab memerangi rasuah harus dipikul semua lapisan masyarakat bagi mencapai sasaran meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke tangga 25 teratas dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Setiap peserta yang menghadiri program ini dapat mempengaruhi 10 orang rakan sebaya, keluarga atau masyarakat menerap nilai benci rasuah dan bersama SPRM memerangi rasuah.

"Ia sekali gus dapat menyebar luas mesej anti rasuah dalam masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Intervensi Pengurusan Dana Dalam Pertubuhan Belia: Gerakan Anti Rasuah Anak Muda Zon Utara 2023 di Pejabat SPRM Pulau Pinang, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong; Pengarah SPRM Pulau Pinang, Tuan Ruslan Tuan Mat dan Setiausaha Agung PKPIM, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly.

Norazlan berkata, program intervensi itu dijalankan secara bersiri di lima negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang sejak Mac lalu.

Katanya, lebih 500 peserta terdiri daripada pemimpin dan ahli persatuan belia yang bernaung di bawah PKPIM menghadiri program berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Dzul Aiman berkata, PKPIM mengemukakan lima resolusi hasil program itu antaranya adalah membantu SPRM dalam menyebar luas mesej anti rasuah terutamanya di kalangan belia.

Antara lain, katanya, membentuk kelompok pemimpin belia yang cakna mengenai kesalahan rasuah, undang-undang, pengurusan dana berhemah dan amanah serta menjadi mata telinga SPRM.

"Program ini adalah antara ikhtiar PKPIM bagi mendukung pelaksanaan rukun keyakinan, ihsan dan kemampanan madani bagi memastikan usaha meningkatkan kefahaman nilai integriti dalam kalangan belia serta memperkukuhkan elemen tata kelola dalam pertubuhan belia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 5:53 PM