AZIZUL (kiri) dan pelumba lain kini sedang berlatih di Melbourne.
AZIZUL (kiri) dan pelumba lain kini sedang berlatih di Melbourne.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang bersedia untuk menghadiahkan dua emas acara trek kepada peminatnya pada Sukan SEA Ogos ini.

The Pocket Rocketman disenaraikan untuk menyertai acara keirin dan pecut individu pada pertandingan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.

Jelas Azizul, ketua jurulatih negara John Beasley sudah memaklumkan kepadanya supaya memenangi dua emas pada penampilan terakhirnya di Sukan SEA.

Penampilan sulung Azizul di Sukan SEA adalah pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

“Jurulatih mahu saya meraih dua emas untuk penyokong kerana ia penampilan terakhir di Sukan SEA. Saya tidak mempunyai masalah untuk beraksi dalam dua acara, malah amat berbesar hati,” jelas juara keirin dunia itu.

Berdasarkan rekod dan prestasi, pelumba kebanggaan negara itu tidak akan berdepan kesukaran untuk melakukannya kerana saingan di pentas Asia Tenggara tidak terlalu sukar.

“Fokus utama adalah untuk menghadiahkan emas sebanyak mungkin kepada kontinjen negara bagi membolehkan sasaran muncul juara keseluruhan tercapai.

“Walaupun berpuasa, saya tetap menjalani latihan seperti biasa, pada masa sama turut fokus kepada peperiksaan di universiti,” jelasnya.

Azizul dan pelumba trek negara sedang menjalani latihan fasa akhir di Melbourne bagi memastikan sasaran 13 emas mampu dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 10:53 AM