Malaysia's Mohd Azizulhasni Awang celebrates after the men's sprint final at the UCI track cycling World Championship at the velodrome in Berlin on March 1, 2020. (Photo by Tobias SCHWARZ / AFP)
Malaysia's Mohd Azizulhasni Awang celebrates after the men's sprint final at the UCI track cycling World Championship at the velodrome in Berlin on March 1, 2020. (Photo by Tobias SCHWARZ / AFP)
Aida Adilah Mat


TUJUH pingat Kejohanan Dunia selain pernah bergelar juara dunia dan kini menghuni ranking nombor satu dunia acara keirin meletakkan pelumba negara Azizulhasni Awang dalam kelas tersendiri.

Dia kini dalam landasan tepat untuk merekodkan nama selaku pemenang pingat emas pertama negara di temasya Olimpik Tokyo Julai ini.

Dua gangsa yang diraih di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di The Velodrom, Berlin, Jerman memberi petanda positif buat Azizul lima bulan menjelang temasya terbesar dunia itu.

“Saya tidak akan sia-siakan baki lima bulan ini. Saya akan bekerja keras dan sama-samalah berdoa saya mampu lakukan yang terbaik untuk negara. Memenangi dua gangsa bagi saya satu pencapaian tersangat baik. Kejohanan Dunia pada tahun Olimpik selain peluang terakhir untuk proses kelayakan ke temasya berkenaan menjadikan persaingannya sangat tinggi dan kompetitif jadi dua pingat diraih ini sangat bermakna.

“Paling saya gembira adalah gangsa yang saya dapat dalam acara pecut. Kali terakhir saya menang pingat perak pada 2009. Ini menunjukkan saya juga berpeluang mendapat pingat dalam acara pecut di Tokyo nanti,” katanya.

Azizul bagaimanapun menepis dakwaan mengatakan ramai atlet ‘menyimpan kuku’ adalah tidak benar apabila ramai jaguh handalan dunia seperti juara dunia keirin 2019 Matthijs Buchli, juara Olimpik, Jason Kenny juga tersungkur awal.

“Tiada simpan-simpan. Masing-masing memberi yang terbaik di kejohanan kali ini kerana ia peluang terakhir untuk mengutip mata ke Olimpik. Memang semua yang datang dengan prestasi terbaik kerana taraf pertandingan ini sangat tinggi,” katanya yang mengambil contoh pelumba Belanda, Harrie Lavreysen yang berjaya bergelar juara dunia acara keirin, pecut individu dan pecut berpasukan.

Lavreysen menjadi pelumba mencatat masa paling pantas dalam acara pecut, 9.253s ketika Azizul mencatatkan rekod baru Asia, 9.548s.

Namun The Pocket Rocketman yakin pelumba negara mampu merapatkan jurang dalam tempoh baki lima bulan kerana masih belum mencapai tahap prestasi sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 10:01 PM