PENGARAH Urusan Sime Darby Property Dato Ir Jauhari Hamidi (dua dari kiri) bersama Azizulhasni, Fatehah (kanan) dan  John Beasley (dua dari kanan) pada Majlis ‘Ride with our Olympians’ di Shah Alam, semalam.
PENGARAH Urusan Sime Darby Property Dato Ir Jauhari Hamidi (dua dari kiri) bersama Azizulhasni, Fatehah (kanan) dan John Beasley (dua dari kanan) pada Majlis ‘Ride with our Olympians’ di Shah Alam, semalam.

Shah Alam: Pelumba berbasikal trek negara Azizulhasni Awang mengesahkan dia akan beraksi di Sukan SEA pada tahun depan walaupun sudah bergelar jaguh dunia.

Jelas pemenang pingat gangsa acara keirin Olimpik Rio itu, keputusannya adalah berdasarkan beberapa pertimbangan yang diambil terutamanya apabila Malaysia bakal bergelar tuan rumah.

“Bagi saya inilah peluang rakyat Malaysia untuk melihat secara dekat persembahan saya. Malah, Sukan SEA kali ini berlangsung di bumi sendiri, ada tarikan tersendiri,” katanya yang terakhir beraksi pada Sukan SEA 2007 di Thailand.

Malah, dia cukup teruja untuk menguji velodrom baru yang sedang dibina di Nilai, Negeri Sembilan kerana ia bakal menjadi venue kepada 13 emas yang akan ditawarkan pada Sukan SEA nanti.

“Sebelum ini pun saya tidak mengambil bahagian kerana memberi peluang kepada pelumba pembangunan dan sebagainya namun berbeza kerana kali ini sebagai tuan rumah.

“Bagaimanapun, saya tidak akan beraksi dalam banyak acara, mungkin satu saja kerana saya bukan mengejar pingat namun lebih kepada hasrat mahu beraksi di hadapan penonton sendiri,” jelasnya.

Azizulhasni yang digelar The Rocketpocket Man meraih gangsa dalam acara keirin di Olimpik Rio untuk melakar sejarah pelumba berbasikal pertama menyumbang kepada pungutan pingat negara selain badminton dan terjun.

Ditanya mengenai kesihatan Amna Khadeeja, Azizulhasni berkata, anak perempuannya yang berusia 11 bulan itu mendapat jangkitan kuman pada paru-parunya.

“Sedih, namun saya gembira dapat menjaganya sepanjang malam (malam kelmarin). Saya yakin dia kuat untuk mengharungi dugaan ini,” katanya yang tiba di tanah air petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 5:06 AM