AZIZULHASNI
AZIZULHASNI
Aida Adilah Mat


Tujuh pingat di Kejohanan Dunia selain pernah bergelar juara dunia dan kini menghuni ranking nombor satu dunia dalam acara keirin meletakkan pelumba negara Azizulhasni Awang dalam kelas tersendiri.

Dia kini berada di landasan tepat untuk merekodkan nama selaku pemenang pingat emas pertama negara di temasya Olimpik Tokyo Julai depan.

Dua gangsa yang diraih di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di The Velodrom, Berlin, Jerman memberi petanda positif buat Azizul lima bulan menjelang temasya terbesar dunia itu.

“Saya tidak akan sia-siakan baki lima bulan yang ada dan akan bekerja keras dan sama-sama berdoa saya mampu lakukan yang terbaik untuk negara.

“Memenangi dua gangsa bagi saya pencapaian tersangat baik. Kejohanan Dunia pada tahun Olimpik selain peluang terakhir untuk proses kelayakan ke temasya berkenaan menjadikan persaingannya sangat tinggi dan kompetitif, jadi dua pingat diraih ini sangat bermakna.

“Paling saya gembira adalah gangsa yang saya dapat dalam acara pecut. Kali terakhir saya menang perak dalam pecut pada 2009. Ini menunjukkan saya juga berpeluang mendapat pingat dalam acara pecut di Tokyo nanti,” katanya.

Azizul bagaimanapun menepis dakwaan mengatakan ramai atlet ‘menyimpan kuku’ berikutan ramai jaguh handalan dunia seperti juara dunia keirin 2019 Matthijs Buchli dan juara Olimpik, Jason Kenny tersungkur awal.

“Tiada simpan-simpan. Masing-masing memberi yang terbaik di kejohanan kali ini kerana ia peluang terakhir mengutip mata ke Olimpik. Memang semua yang datang dengan prestasi terbaik kerana taraf pertandingan ini sangat tinggi,” katanya yang mengambil contoh pelumba Belanda, Harrie Lavreysen yang berjaya bergelar juara dunia dalam acara keirin, pecut individu dan pecut berpasukan.

Lavreysen mencatatkan masa paling pantas dalam acara pecut, 9.253s ketika Azizul mencatatkan rekod baharu Asia, 9.548s.

Namun The Pocket Rocketman yakin dalam tempoh baki lima bulan yang ada ini, pelumba negara mampu merapatkan jurang itu kerana masih belum mencapai tahap prestasi sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:10 AM