Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang (gambar) begitu teruja untuk beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan menjadi Sukan SEA terakhir buat dirinya.

Andai benar namanya disenaraikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) seperti dilaporkan media sebelum ini, Azizul sedia mengalas tanggungjawab itu dan pastinya emas acara keirin dan pecut berada dalam genggaman.

Azizul yang kini kembali menjalani latihan di Melbourne berkata, memang menjadi hasratnya untuk berada dalam skuad negara di Sukan SEA dan membantu menyapu bersih emas acara trek nanti.

Tambahan pula ia akan memberi peluang untuk dirinya mencipta sesuatu di Velodrom Nilai, gelanggang berkelas dunia yang dijangka digunakan buat pertama kali di temasya Sukan SEA itu nanti.

“Jika boleh memang saya ingin sangat beraksi dan teruja kalau diberi peluang. Beraksi di tempat sendiri memang sesuatu diinginkan.

“Ini peluang beraksi di depan penyokong sendiri dan ibu bapa juga dapat menyaksikan saya beraksi secara langsung kerana selama ini mereka jarang melihat saya berlumba,” katanya.

Kali terakhir pemenang pingat gangsa Olimpik itu beraksi di temasya dwi tahunan adalah ketika Sukan SEA Korat 2007 yang menyaksikannya sekadar meraih satu emas acara pecut berpasukan selepas tewas kepada Josiah Ng dalam acara pecut dan kecundang di tangan Rizal Tisin bagi 1 kilometer ujian masa.

Namun berdasarkan status pelumba nombor satu dunia dalam acara keirin, pelumba dari Terengganu itu dilihat tidak berdepan masalah membantu skuad negara merealisasikan sasaran 11 emas tahun depan.

Azizul dijangka menguat barisan negara bersama-sama Fatehah Mustafa dan Mohammad Shah Firdaus Sahrom selain beberapa pelumba muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 11:00 AM