LATIHAN memanah jadikan kanak-kanak lebih fokus.
LATIHAN memanah jadikan kanak-kanak lebih fokus.
AKTIVITI menyusun Lego dengan mata tertutup.
AKTIVITI menyusun Lego dengan mata tertutup.
RUHA membantu kanak-kanak melakukan aktiviti menyusun gambar sambil mata ditutup.
RUHA membantu kanak-kanak melakukan aktiviti menyusun gambar sambil mata ditutup.
Siti Zarinah Sahib

Tiga kanak-kanak berusia lima dan enam tahun khusyuk membaca buku dengan mata ditutup rapat menggunakan kain hitam sambil dipantau seorang guru. Lancar sekali pembacaan mereka dalam keadaan tidak nampak namun mampu membaca dengan baik.

Di satu sudut yang lain, tiga kanak-kanak melakukan latihan memanah juga dengan mata ditutup kain hitam tetapi mereka mampu menumpukan perhatian untuk mencapai sasarannya.

Bagi yang baru kali pertama mengunjungi pusat pembelajaran Smart-IQ, pasti berasa pelik dengan kebolehan anak kecil ini melakukan proses pembelajaran dalam keadaan tidak dapat melihat. Tetapi mereka tetap fokus dan memberikan tumpuan dengan baik dan bersungguh-sungguh.

Menurut pengetua dan pengasas Smart-IQ Ruha Dani, pembelajaran yang dijalankan di Smart-IQ menggunakan kuasa minda iaitu dengan me­ngeluarkan keseluruhan potensi diri menerusi aktiviti menggunakan otak.

Jika badan memerlukan latihan fizikal untuk me­ngekalkan kecergasan, sama seperti otak yang turut memerlukan latihan.

“Aktiviti dengan cara menutup mata ialah latihan paling cepat dan mudah bagi mengaktifkan sel otak. Ini kerana ia dapat meningkatkan kadar tumpuan dan fokus terhadap sesuatu perkara yang mereka lakukan,” katanya.

Jelasnya, pada waktu biasa terdapat pelbagai gangguan yang menyebab­kan kanak-kanak hilang tumpuan dalam pembelajaran. Keadaan sekeliling, bungi bising dan suara rakan akan menyebabkan pengajaran diterima tidak sampai 50 peratus disimpan di dalam otak. Menerusi kaedah menutup mata ini, mereka menjadi lebih fokus kerana tidak lagi melihat semua gangguan di sekeliling. Ini menyebabkan apa saja aktiviti dapat dilakukan dengan baik.

“Teknik menutup mata iaitu dengan mengaktifkan otak tengah ialah pendidikan biasa yang dilakukan di Jepun dan Korea. Apabila mata ditutup, secara tidak langsung otak tengah diaktifkan dan kanak-kanak ini melihat menggunakan otak mereka. Sebab itu mereka dapat melihat angka, membaca, mengenal warna sehingga kepada memanah dengan tepat. Keadaan ini berbeza dengan kanak-kanak yang tidak diaktifkan otak mereka,” katanya.

Kanak-kanak ini mempunyai deria yang sangat hebat. Mereka menggunakan semua deria ini untuk merasa, menghidu, mendengar dan menyentuh. Dalam keadaan tertentu ada yang dapat memahami bahasa haiwan dan dapat berkomunikasi dengan binatang peliharaan seperti kucing. Jika diperhatikan ia bukanlah silap mata sebaliknya kaedah ini menggunakan gelombang otak alfa yang muncul ketika seseorang berada dalam keadaan tenang dan kreatif.

“Otak manusia sangat hebat. Jika manusia mampu mencipta komputer dan pelbagai gajet hebat, bayangkan betapa hebatnya otak manusia. Namun ramai tidak menggunakan kehebatan ini kerana tidak tahu caranya. Menerusi latihan kuasa minda yang dilakukan secara konsisten dan berkala, ia menjadikan minda anak lebih kuat. Melihat menggunakan mata hati pula menyebabkan mereka mampu menerangkan apa yang tersurat dan tersirat di sebaliknya. Sehinggakan ada yang dapat menjelaskan perkara dan benda yang berada di belakang, atas dan dari semua arah,” katanya.

Kebaikan latihan kuasa minda

Jelas Ruha, terdapat banyak kebaikan apabila aktiviti pembelajaran dilakukan dengan menutup mata. Daya tumpuan yang diperoleh bukan hanya bersifat sementara sebaliknya dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian terutama dalam bidang pekerjaan.

Selain itu, daya ingatan kanak-kanak menjadi lebih kuat. Ini kerana dalam setiap aktiviti kanak-kanak diajar untuk menyimpan semua data dalam sistem simpanan jangka panjang kerana ia lebih kekal. Apabila diperlukan, semua data ini dikeluarkan dengan mudah. Ia sama seperti komputer yang mempu­nyai fail tertentu dan mudah dikeluarkan sekiranya pemiliknya mengetahui nama fail itu.

“Kaedah ini dapat digunakan untuk otak apabila kanak-kanak ini diajar mengaktifkan otak mereka dan mempunyai sistem simpanan data yang baik. Ini menyebabkan daya ingatan menjadi lebih kuat,” kata­nya yang banyak menggunakan fotografi berbanding tulisan semata-mata.

Ini kerana menerusi kaedah gambar dan video menjadikan mereka lebih mudah menghafal.

Selain itu, ia dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak kerana apa saja dilakukan bersifat dalaman. Apabila kuasa minda ini diaktifkan kanak-kanak merasa kehebatan diri mereka terserlah. Mereka berbeza dengan kanak-kanak lain kerana mampu membaca dalam keadaan mata tertutup atau apa saja aktiviti lain.

Pada masa akan datang apabila mereka berasa tertekan atau pernah gagal, kekecewaan tidak bersifat lama. Mereka akan cuba mengatasinya dengan bang­kit dan melawan kegagalan itu kerana kekuatan dalaman sudah dibina sejak kecil.

Latihan menggunakan kuasa minda juga membantu menguatkan daya imaginasi. Kanak-kanak dapat melihat menerusi imaginasi mereka. Imagi­nasi ini seharusnya dipupuk sejak mereka kecil. Biarkan anak membayangkan apa yang akan dilalui pada masa depan kerana menerusinya mereka boleh melahirkan sesuatu yang berbeza dan kreatif.

“Ramai tidak tahu setiap kanak-kanak mempunyai potensi diri yang sangat hebat. Cuma ibu bapa tidak tahu bagaimana mengeluarkannya. Menerusi kaedah kuasa minda potensi diri kanak-kanak dapat dikeluarkan dan mereka akan terdorong melakukan berdasarkan potensi diri. Sebab itu dengan cara mengaktifkan sel otak, mereka lebih mudah menerima pembelajaran, mudah menerima nasihat, rajin, tidak pemarah dan mendengar kata ibu bapa.

Bermula kuasa minda untuk anak sendiri

Menceritakan lebih lanjut bagaimana Ruha dan suaminya membuka pusat pembelajaran Smart-IQ, jelasnya ia bermula dengan anak sulungnya yang lambat dalam pembelajaran. Bimbangkan si kecil yang ketika itu berusia tujuh tahun tetapi tidak boleh membaca, Roha membuat kajian di Internet dan pembacaan sistem pembelajaran bagi merangsang sel otak.

“Saya menemui kaedah pembelajaran menggunakan otak iaitu dengan mengaktifkan sel otak dan ia sangat membantu. Sedikit demi sedikit anak saya semakin maju dalam pembelajaran dan menjadi pelajar terbaik.

Dari situ saya membuat kajian dan menemui kaedah kuasa minda iaitu aktiviti secara menutup mata sudah lama dijalankan di Jepun, Korea, China dan Taiwan untuk anak kecil.

“Selepas membuat kajian saya dapati apa yang dilakukan di sana sudah lama dijelaskan dalam al-Quran. Misalnya aktiviti berkuda, memanah dan berenang yang menjadi amalan Nabi Muhamad SAW menyimpan banyak kebaikan. Memanah ialah aktiviti yang dapat menjadikan anak lebih fokus begitu juga dengan berkuda dan berenang. Selain baik untuk kesihatan ia menjadikan daya pemikiran lebih tajam.

“Dengan tujuan membantu ibu bapa mencungkil potensi diri anak, saya membuka Smart-IQ pada 2013 dan sehingga kini ia mendapat sambutan daripada ibu bapa,” katanya yang tidak mengkhususkan kepada kanak-kanak tadika empat hingga enam tahun saja sebaliknya kelas pada hujung minggu juga boleh dihadiri sesiapa saja bermula pada usia empat hingga 80 tahun. Setakat ini ada pelajar paling tua berusia 75 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 12:10 PM