PESERTA meneka nombor kad menerusi deria rasa sambil mata ditutup.
PESERTA meneka nombor kad menerusi deria rasa sambil mata ditutup.
AZMIN menjalankan aktiviti menggunakan kain penutup mata kepada peserta dewasa.
AZMIN menjalankan aktiviti menggunakan kain penutup mata kepada peserta dewasa.
MEMANAH sambil mata ditutup adalah satu cara untuk fokus.
MEMANAH sambil mata ditutup adalah satu cara untuk fokus.
Siti Zarinah Sahib


Bagi yang pernah menghantar anak mengikuti program kuasa minda membabitkan pembelajaran menerusi cara menutup mata, pasti teruja dengan perubahan si kecil yang disifatkan amat berbeza emosi dan cara berfikir berbanding sebelum mengikuti program itu.

Jika dulu mungkin ada tergolong dalam kumpulan lemah pembelajaran, kurang mendengar kata dan berdisiplin namun pembelajaran dengan cara menutup mata menjadikan si kecil lebih fokus.

Namun persoalannya, adakah cukup dengan hanya menghantar anak saja tanpa ibu bapa sendiri mengalami proses di sebalik pengembangan minda menerusi teknik mengaktifkan otak tengah ini?

Ini kerana sekiranya ibu bapa melaluinya, mereka sendiri dapat memastikan pembelajaran anak dijalankan secara berterusan. Bukan itu saja, masalah yang sering dialami seperti tekanan di tempat kerja, masalah suami isteri atau dengan anak dapat diatasi dengan mudah.

Menurut pengasas yang juga Pengetua Smart-IQ Ruha Dani, pembelajaran menggunakan kuasa minda menerusi kaedah menutup mata yang dijalankan di Smart-IQ tidak hanya mengkhusus kepada kanak-kanak saja sebaliknya terbuka kepada dewasa. Proses yang dijalankan adalah sama iaitu dengan mengeluarkan keseluruhan potensi diri menerusi aktiviti menggunakan otak.

Bayangkan dalam persekitaran di tempat kerja dan di rumah, ramai yang terbeban dengan pelbagai masalah. Cara biasa dilakukan untuk mengurangkan tekanan adalah dengan bercuti bersama keluarga. Namun sebenarnya percutian hanya sekadar ‘meletakkan’ masalah di luar kotak fikiran dan apabila kembali ke tempat kerja masalah itu tetap ada. Lama-kelamaan masalah yang dibiarkan akan menghantui kehidupan dan menyebabkan prestasi kerja menurun, perhubungan antara isteri dan anak menjadi suram.

“Oleh itu, apa yang perlu dilakukan adalah dengan mengeluarkan keseluruhan pemikiran negatif dan fokus kepada perkara positif saja. Tetapi ramai tidak tahu caranya dan perkara ini langsung tidak pernah diajar sesiapa sejak kecil. Akhirnya kita hanya menyimpan semua cas negatif sehingga akhirnya menjadi barah yang sukar dibendung,” katanya.

Jelas Ruha, kuasa minda yang didedahkan menerusi pembelajaran di Smart-IQ ialah teknik pengaktifan kuasa minda iaitu kebolehan minda melaksanakan fungsi utama otak seperti menerima dan memproses maklumat, menyimpan dan memanggil maklumat, kuasa imaginasi dan kreativiti.

“Apa yang diserlahkan menerusi bengkel kuasa minda untuk dewasa adalah dengan meningkatkan kepekaan deria peserta. Apabila kuasa deria ditingkatkan, proses penerimaan dan pemprosesan maklumat dapat ditingkatkan dan dipermudahkan,” katanya yang turut menjalankan teknik sama menggunakan cara menutup mata.

Kuasai emosi

Oleh itu ibu bapa digalakkan menyertai bengkel ini kerana ia membantu dalam banyak segi. Antaranya menjadikan seseorang itu lebih khusyuk dan seronok beribadah. Ini kerana ia membantu untuk lebih fokus dalam melakukan sesuatu perkara.

Apabila kemahiran untuk fokus ini dapat dikuasai, ia akan memudahkan proses melakukan ibadah seperti solat dan berpuasa ketika Ramadan. Ibadah menjadi lebih berkualiti.

“Mereka yang dapat menguasai minda akan dapat menambah nilai perasaan terutama dengan pencipta-Nya. Mereka dapat membayangkan Kaabah seolah-olah ada di hadapan ketika bersolat malah mampu menitiskan air mata dengan bacaan al-Quran,” katanya.

Bagi suri rumah pula berhadapan dengan anak setiap hari, kerja rumah yang tidak pernah habis menyebabkan ada kalanya mereka tertekan. Akibatnya anak menjadi mangsa disebabkan tidak memahami antara satu sama lain. Ia diburukkan lagi dengan komunikasi yang sangat lemah antara ibu dan anak menyebabkan arahan diberikan ibu tidak dapat dilakukan dengan baik.

Bagi ibu berkerjaya, kawalan emosi memainkan peranan penting. Jika tidak ia akan menyebabkan ibu menghamburkan kemarahan mereka kepada anak sedangkan ia berpunca daripada tekanan di pejabat. Akhirnya anak disakiti secara tidak sengaja.

“Menerusi kaedah kuasa minda, bagi anak yang menyertainya ia memberikan komunikasi sehala iaitu saling faham-memahami walaupun dengan hanya deria rasa. Arahan serta apa yang dimahukan ibu bapa berjaya dilakukan dengan baik. Kawalan emosi juga menjadi lebih baik serta meningkatkan sensitiviti di antara ibu dan anak,” katanya.

Dalam perniagaan pula, ia mampu menjadikan komunikasi dua hala bertambah baik. Malah perniagaan menjadi lebih berkembang dan meningkatkan keyakinan diri penjual dan pembeli. Gelombang otak ibarat wifi yang mampu menghantar apa saja yang dirasai kepada orang lain.

“Oleh sebab itu, pensyarah yang mempelajari kaedah gelombang kuasa minda ini akan mendapati pencapaian pelajar dalam peperiksaan bertambah baik. Pelajar mudah memahami dan menerima ilmu yang disampaikan di kelas,” katanya.

Bukan itu saja, jelas Ruha, bengkel penguasaan kuasa minda ini juga mampu menjadikan mental dan emosi atlet bertambah kuat. Mereka tidak mudah berputus asas dan mempunyai semangat juang yang sangat tinggi untuk berjaya. Bagi mereka yang berpenyakit seperti kanser atau penyakit kronik lain, mereka menjadi lebih kuat dan sentiasa berfikiran positif menerima musibah daripada Allah.

“Sebagai contoh pesakit kanser yang berada dalam tahap tiga dan empat pastinya membayangkan masa depan yang suram serta berhadapan dengan kematian. Namun dengan kuasa minda, seseorang itu mampu mengarahkan badan membuang semua sel negatif dan hanya membayangkan perkara positif saja. Ini kerana apabila badan dikuasai otak, sudah pasti badan akan mengikut apa saja yang diarahkan oleh otak,” katanya yang menjelaskan apa saja dilakukan otak dan badan harus selari. Inilah yang tidak diajar bagaimana menjadikan penyatuan badan dan otak.

Aktifkan otak tengah

Program Smart-IQ menggabungkan teknik hebat dari beberapa negara maju seperti Korea, Jepan, Taiwan, Malaysia, Amerika Syarikat dan Kanada. Namun program yang dijalankan melalui teknik mengaktifkan otak tengah masih menimbulkan persoalan dan diperkatakan dalam kalangan sebilangan masyarakat hari ini.

Jelas jurulatih program Smart- IQ, Azmin Mohd Razali, apabila seseorang itu menyedari setiap ciptaan Allah adalah sempurna, maka tiada sesuatu pun yang mustahil berlaku. Fenomena yang dianggap pelik ini tidak mustahil boleh dimiliki sesiapa saja kerana teknik ini bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi ia adalah hasil penyelidikan pakar mengenai otak dan fungsinya sejak puluhan tahun dahulu.

Kanak-kanak yang otak tengahnya diaktifkan mempunyai kelebihan yang tiada pada kanak-kanak yang belum mengaktifkan otak tengahnya. Kelebihan yang nyata adalah kemampuan mereka melihat dengan mata tertutup. Sama juga apabila dipraktikkan orang dewasa. Mereka berupaya ‘melihat’ benda di sekitar dan mampu melakukan aktiviti dengan mata tertutup seperti mengenal nombor, membaca kad dan mewarna.

Program pengaktifan otak tengah hanya menggunakan gelombang otak alpha. Gelombang alpha ini selalunya muncul sangat dominan ketika seseorang berada dalam keadaan yang paling tenang, relaks dan santai.

“Sebagai contoh keadaan ketika seseorang baru bangun dari tidur di awal pagi. Setelah otak tengah diaktifkan, otak akan dapat memancarkan gelombang. Gelombang ini berfungsi sehingga 360 darjah yang bertindak umpama radar yang akan merasa dan berinteraksi dengan keadaan sekeliling.

“Sebab itu, mereka boleh melihat dengan mata tertutup dan benda di sekitarnya walau diletak dari mana-mana arah sekalipun. Kelebihan melihat dengan otak ini boleh dianggap sebagai bonus,” katanya.

Pada umumnya, kelebihan yang diperoleh setelah otak tengah diaktifkan adalah:

1. Meningkatkan tumpuan

Apabila otak tengah diaktifkan, tumpuan seseorang akan bertambah baik menyebabkan mereka lebih mudah memahami sesuatu hal yang rumit. Ini kerana otak tengah ialah pengeluar dopamine yang diperlukan otak sebagai neurotransmitter. Otak tengah yang aktif mampu mengeluarkan dopamine dalam jumlah yang mencukupi. Semakin banyak dopamine dikeluarkan, semakin banyak jaringan sel baru akan terbentuk dan tersusun dalam sebuah mekanisme dan akan semakin kuat jika kita sering melatihnya.

2. Meningkatkan daya ingatan

Ia berkait rapat dengan daya tumpuan seseorang. Apabila tumpuan bertambah, secara tidak langsung ia akan turut meningkatkan daya ingatan seseorang. Daya ingatan yang bertambah membuat seseorang mampu belajar dalam waktu yang lebih singkat.

3. Meningkatkan gerakan kinetik

Otak tengah juga bahagian otak yang bertindak mengatur pergerakan tubuh. Setelah otak tengah diaktifkan, mereka mampu mengawal tubuh dengan lebih baik. Ada antara individu yang merasakan mereka lebih senang berolahraga, mudah melakukan pergerakan tarian dan aktiviti luar rumah.

4. Seimbangkan emosi

Otak tengah juga berfungsi mengatur hormon dalam tubuh. Jika otak tengah diaktifkan, mereka dapat mengawal emosi dengan lebih baik kerana otak tengah menyeimbangkan perkembangan otak kanan dan kiri. Mereka yang mempunyai emosi positif, tenang dan stabil akan dapat menerima pembelajaran dengan lebih baik.

Mereka lebih mudah menghafal dan dapat menyelesaikan permasalahan dengan lebih kreatif. Seseorang yang fungsi otak mereka lebih seimbang juga dapat menimbulkan sifat lebih berkasih sayang dengan orang di sekelilingnya, lebih peka dan prihatin dengan hal orang lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai Smart-IQ boleh melayari www.smart-iq.my atau Facebook smart-iq dan YouTube smartiqctv.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 1:57 PM