ANAK-anak kakitangan PAMB yang menyertai Bengkel Teknik Buzan Brainsmart, baru-baru ini.
ANAK-anak kakitangan PAMB yang menyertai Bengkel Teknik Buzan Brainsmart, baru-baru ini.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Cuti sekolah adalah peluang untuk kanak-kanak berehat dan memberi tumpuan kepada aktiviti lain di luar waktu persekolahan. Bagi ibu bapa, ia juga ruang terbaik untuk memperkayakan pengetahuan anak mereka dengan cara yang bermanfaat lagi menarik.

Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) membuktikan komitmennya terhadap pembangunan belia apabila membawa anak-anak kakitangannya menyertai aktiviti cuti sekolah yang mampu merubah hidup mereka di Bengkel Teknik Buzan Brainsmart.

Bengkel itu direka untuk membantu peserta meneroka bagaimana otak belajar, menyimpan dan mendapatkan semula maklumat menggunakan peta minda yang berkesan.

Ia disertai 42 kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun. Acara sepanjang tiga hari itu yang penuh keceriaan dan manfaat positif, menjadi cara produktif untuk menghabiskan cuti sekolah dengan meningkatkan pembelajaran kreatif serta pemikiran kritikal.

Sepanjang bengkel ini berlangsung, kanak-kanak terbabit mempelajari bahawa peta minda merupakan alat pemikiran hebat yang merangsang kecerdasan berganda termasuk sosial, kreatif, angka dan fizikal seterusnya mencetuskan potensi otak untuk menjadi lebih pintar secara semula jadi.

Lebih menyeronokkan, mereka turut digalakkan menggunakan warna dan bentuk dalam proses pemetaan minda supaya tidak terikat dengan hanya satu cara selain mempertingkatkan kreativiti.

Ketua Pegawai Sumber Manusia PAMB Norida Hamid berkata, sebagai ibu dia amat memahami betapa pentingnya memupuk anak-anak untuk belajar secara berkesan supaya meningkatkan prestasi dari segi akademik serta sosial.

“Dengan peta minda, kanak-kanak belajar menjana idea dengan cepat seterusnya dalam proses itu mereka belajar meneroka daya kreativiti sendiri,” katanya.

Peserta, Alicia Chu Ann Yee, 13, berkata, dia begitu gembira dapat menyertai Bengkel Teknik Buzan Brainsmart itu kerana pendekatannya yang menarik dan bermanfaat.

“Saya kini mula menggunakan peta minda untuk pengajian Sejarah dan rasa seronok belajar kerana ia membolehkan saya mengingat dengan mudah. Saya pasti teknik ini akan terus membantu saya dalam pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, ibu peserta, Azura Abdullah berkata, dia tahu mengenai Tony Buzan sejak zaman sekolah dan gembira kerana berpeluang memasukkan anaknya, Ryan dalam bengkel berkenaan supaya dia belajar teknik peningkatan memori serta kreativiti terkemuka itu.

“Dia bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan saya percaya Prudential membuka peluang baru bagi membolehkannya berjaya untuk jangka panjang,” katanya.

Dibangunkan oleh Tony Buzan yang dikenali sebagai pencipta teknik pemetaan minda dan sebagai pakar daya ingatan serta pembacaan pantas, Teknik Buzan Brainsmart adalah program yang secara asasnya melatih otak, mengubah cara belajar untuk meningkatkan ingatan dan menajamkan pemikiran supaya lebih kreatif.

Bengkel itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada program PRUlife PAMB, usaha meningkatkan pembabitan pekerja yang memberi tumpuan terhadap memperkayakan kebajikan pekerja di luar pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 8:46 AM