BERMAIN rubik sambil menutup mata dapat mengaktifkan otak tengah kanak-kanak.
BERMAIN rubik sambil menutup mata dapat mengaktifkan otak tengah kanak-kanak.

Berapa lama anda dapat menyelesaikan permainan rubik buat kali pertama? Adakah mengambil masa satu jam, satu hari atau berminggu lamanya? Bagi yang kali pertama sudah tentu ia memberikan sedikit tekanan kerana anda seakan-akan dipaksa menyelesaikan susunan warna yang anda sendiri tidak tahu caranya.

Bagi mereka terutama kanak-kanak yang sudah biasa menyusun sambil memusing kotak segi empat sama itu mengikut warna merah, jingga, biru, hijau dan putih, pasti ia tidak menyukarkan. Malah jika konsisten dilakukan dengan daya imaginasi dan tumpuan yang betul sambil menutup mata sekalipun, ia dapat dilakukan dengan mudah.

Ramai tidak tahu rubik yang dicipta oleh Erno Rubik, kelahiran Budapest ini permainan yang dapat mengasah kemampuan berimaginasi, daya tumpuan dan ketelitian. Ia lebih banyak menggunakan logik dan memerlukan kesabaran untuk menyelesaikannya.

Menyedari banyak manfaat daripada permainan ini, pengasas Smart-IQ, Ruha Dani memasukkan elemen permainan ini dalam mata pelajaran pembelajaran di Smart-IQ, namun menerusi cara menutup mata atau menggunakan kuasa minda.

Menjelaskan lebih lanjut, ujarnya, dalam zaman teknologi maklumat ini, kanak-kanak dari usia seawal dua tahun sehingga belasan tahun mengabdikan hampir separuh masa hidupnya dengan bermain gajet seperti telefon pintar dan tablet.

“Pada masa sekarang, manusia terlalu bergantung kepada gajet yang mempunyai banyak keburukan dan boleh merosakkan minda. Oleh itu, permainan rubik boleh menggantikan gajet dan sesuai diberikan kepada kanak-kanak kerana selain merangsang otak kanan dan kiri, ia juga melatih jari untuk bergerak pantas, secara tidak langsung kemahiran motor semakin meningkat,” katanya.†

Permainan rubik juga satu cara meneroka jiwa kanak-kanak yang sukakan persaingan. Buktinya, biarkan mereka bertanding antara satu sama lain dan siapa paling cepat menyelesaikannya. Sudah tentu ia memberikan cabaran untuk saling bersaing dengan sihat antara satu sama lain. Menerusi kaedah menutup mata pula, teknik ini mengaktifkan otak tengah yang tidak diketahui ibu bapa.

“Menerusi cara ini kanak-kanak diajar melihat dengan mata hati. Apabila kuasa minda ini diaktifkan, mereka berupaya ‘melihat’ benda di sekitar dan mampu melakukan aktiviti dengan mata tertutup seperti bermain rubik, mengenal nombor, membaca kad dan mewarna.

“Program pengaktifan otak tengah hanya menggunakan gelombang alfa. Gelombang alfa ini selalunya muncul sangat dominan ketika seseorang berada dalam keadaan yang paling tenang, relaks dan santai.

“Sebagai contoh keadaan ketika seseorang baru bangun daripada tidur pada awal pagi. Setelah otak tengah diaktifkan, otak akan dapat memancarkan gelombang. Gelombang ini berfungsi sehingga 360 darjah yang bertindak umpama radar yang akan merasa dan berinteraksi dengan keadaan sekeliling. Sebab itu, mereka boleh melihat dengan mata tertutup dan benda di sekitarnya walaupun diletak dari mana-mana arah sekalipun,” katanya.

Pada umumnya, kelebihan yang diperoleh setelah otak tengah diaktifkan adalah meningkatkan tumpuan. Apabila otak tengah diaktifkan, tumpuan seseorang akan bertambah baik menyebabkan mereka lebih mudah memahami sesuatu hal yang rumit. Ini kerana otak tengah ialah pengeluar dopamine yang diperlukan otak sebagai neurotransmiter (pengutus saraf).

“Otak tengah yang aktif mampu mengeluarkan dopamine dalam jumlah mencukupi. Semakin banyak dopamine dikeluarkan, semakin banyak jaringan sel baru akan terbentuk dan tersusun dalam sebuah mekanisme dan semakin kuat jika kita sering melatihnya,” katanya.

Ia juga meningkatkan daya ingatan dan berkait rapat dengan daya tumpuan seseorang. Apabila tumpuan bertambah, secara tidak langsung ia turut meningkatkan ingatan seseorang. Otak tengah juga berperanan untuk keseimbangan emosi. Jika otak tengah diaktifkan, mereka dapat mengawal emosi dengan lebih baik kerana otak tengah menyeimbangkan perkembangan otak kanan dan kiri. Mereka yang mempunyai emosi positif, tenang dan stabil akan dapat menerima pembelajaran dengan lebih baik.

“Hasilnya mereka lebih mudah menghafal dan dapat menyelesaikan permasalahan dengan lebih kreatif. Seseorang yang fungsi otak lebih seimbang juga dapat menimbulkan sifat lebih berkasih sayang, peka dan prihatin dengan hal orang lain,” kata Ruha.

Kebaikan permainan rubik

Terdapat banyak kebaikan dalam permainan rubik, antara yang jelas adalah latihan meningkatkan daya ingatan. Ini kerana untuk menyelesaikan dengan mudah, terdapat rumusan dan teknik yang perlu dihafal. Secara tidak langsung kanak-kanak akan berusaha menghafal teknik untuk menyelesaikannya.

Dalam pada itu, ia juga melatih kanak-kanak menjadi lebih sabar. Kesabaran seseorang itu akan diuji ketika bermain rubik, apatah lagi

sekiranya bermain menggunakan akal logik tanpa rumusan. Dari situlah kesabaran akan terlatih kerana kebiasaannya mereka yang baru belajar bermain rubik dalam masa 15 minit saja sudah menyerah kalah.

Permainan ini mengisi waktu terluang daripada perkara yang tidak berfaedah. Ia juga dapat dimainkan di mana saja seperti ketika menunggu bas, berehat atau bekerja kerana ia mudah dibawa ke mana saja. Malah ia juga sesuai diberikan kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai Smart-IQ boleh melayari www.smart-iq.my atau Facebook smart-iq dan YouTube smartiqctv. - Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 6:33 AM