PROGRAM ini tidak terhad untuk perempuan, malah penyertaan kanak-kanak lelaki  digalakkan.
PROGRAM ini tidak terhad untuk perempuan, malah penyertaan kanak-kanak lelaki digalakkan.
ASPEK disiplin turut ditekankan selain tumpuan kepada pendengaran, kinestesis dan visual.
ASPEK disiplin turut ditekankan selain tumpuan kepada pendengaran, kinestesis dan visual.
PROGRAM kerjasama Musikhaus dan SRGC beri tumpuan kepada pembentukan diri kanak-kanak seawal dua tahun.
PROGRAM kerjasama Musikhaus dan SRGC beri tumpuan kepada pembentukan diri kanak-kanak seawal dua tahun.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Kehidupan awal seorang kanak-kanak yang dikelilingi buku dan permainan berteraskan pendidikan pasti meninggalkan kesan positif pada minda mereka hinggalah menjengah usia lewat remaja.

Kajian demi kajian dilakukan bagi menunjukkan betapa persekitaran positif akan membantu kanak-kanak menjalani kehidupan yang lebih cemerlang.

Kajian lebih dua dekad mendapati lebih banyak rangsangan mental diberikan kepada kanak-kanak pada usianya sekitar tiga ke empat tahun, makin berkembang sebahagian besar otak mereka terutama membabitkan pe­nguasaan bahasa dan kognisi yang memberi impak pada masa akan datang.

Kebanyakan laporan kajian sebelum ini mengaitkan pengalaman zaman kanak-kanak yang mempunyai sejarah trauma dengan majoritinya mangsa penderaan.

Martha Farah, Pengarah Pusat Sains Neuro di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, bagaimanapun mendapati pengalaman normal yang dialami ketika zaman kanak-kanak turut berupaya mempengaruhi perkembangan otak.

Beberapa pakar lain turut menyifatkan rangsangan kepada aktiviti harian seperti mempelajari muzik, membabitkan diri dengan seni dan bersukan dapat meningkatkan lagi skil motor dan menajamkan minda kanak-kanak.

Ramai pakar mengakui bahawa rangsangan awal pada fleksibiliti badan, pergerakan otot dan latihan kanak-kanak tidak ketinggalan membuka jalan kepada pertumbuhan serta perkembangan diri mereka di kemudian hari.

Berpaksikan kepada kajian dan penemuan itu, Musikhaus bekerjasama dengan Kelab Gimnastik Berirama Sarina (Sarina’s Rhythmic Gymnastics Club -SRGC) merangka program gabungan rangsangan otak dengan pergerakan gimnastik berirama.

Jelas Pengarah merangkap Pengasas Akademi Musikhaus And Learn Smart, Patricia Lau, fasa pembangunan otak dan fizikal kanak-kanak merangkumi segenap pergerakan termasuk kecenderungan menari mengikut rentak lagu yang digemari.

“Menari dan bersenam adalah antara aktiviti sihat untuk kanak-kanak yang dapat membantu menggalakkan pertumbuhan minda dan tubuhnya.

“Namun dengan adanya teknik yang betul ketika menari atau bersenam, ia dapat mengurangkan risiko pertumbuhan tidak seimbang, contohnya postur bengkok, pergerakan kaki tidak sekata dan sebagainya.

“Menerusi program sedia ada di Musikhaus, ia memberi tumpuan kepada pembangunan pendengaran, gerak balas kinestesis dan corak pembelajaran visual,” katanya.

Kini dengan tambahan rutin gimnastik berirama atau gimrama dalam modul program baru, ia membantu meningkatkan lagi tahap fleksibiliti dan perkembangan diri kanak-kanak seawal usia dua tahun.

“Program seperti ini sudah lama dipraktikkan di Jepun dan negara Barat. Berbanding rutin gimrama yang padat dan sukar, modul program ini lebih ringan bagi memberi peluang kanak-kanak ini bersenam serta melakukan pergerakan fizikal dengan betul.

“Mereka juga dilatih aspek disiplin dengan menggunakan apparatus, menghafal rutin dan memberi perhatian kepada setiap langkah atau lenggok yang dilakukan.

“Ketajaman minda kanak-kanak pada muzik juga dipertingkatkan lagi apabila mereka diajar untuk menguasai emosi, menuruti rentak dan sebagainya.

“Menariknya, program ini tidak terhad kepada perempuan malah penyertaan kanak-kanak lelaki amat digalakkan,” ujar Sarina Sundara Rajah, Pengasas merangkap Jurulatih Utama SRGC.

Ketika program ini berlangsung di Musikhaus, Sunway Giza, Kota Damansara, baru-baru ini, sekumpulan kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia tiga ke tujuh tahun riuh-rendah menari mengikut panduan yang diberikan jurulatih.

Namun dalam masa sama, mereka turut patuh dan penuh disiplin melakukan rutin yang sudah dihafal sambil memberi sokongan kepada rakan yang mengalami kesukaran melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:01 AM