BERGAMBAR kenangan selepas tiba di puncak Bukit Broga.
BERGAMBAR kenangan selepas tiba di puncak Bukit Broga.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Seramai 75 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan dan latar belakang dari komuniti Julieda Aerodance (JA) menyertai pendakian ke puncak Bukit Broga, Semenyih, Selangor pada bulan lalu.

Pendakian yang mengeratkan ukhuwah antara ahli itu turut bertujuan mengumpul dana bagi membantu pemilik JA,Kamsiah Kamaruddin yang menghidap sakit buah pinggang.

Menurut pemilik bersama JA, Juliah Hitam @ Itam Md Daham, aktiviti riadah sambil beramal itu turut diadakan sebagai platform untuk komuniti JA aktif melakukan aktiviti luar selain mengamalkan gaya hidup sihat.

“Ekspedisi ini adalah medium kepada penganjur dan peserta untuk mengeratkan hubungan selain memberi peluang kepada ahli JA bergiat aktif dalam aktiviti luar.

“Aktiviti yang julung kali diadakan ini juga diharap dapat memupuk orang ramai untuk menyahut seruan kerajaan dalam mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Juliah berkata, pendakian ke puncak Bukit Broga turut mendedahkan peserta kepada aktiviti lasak dan mencabar kebolehan serta kemampuan fizikal masing-masing.

“Ramai antara peserta yang tidak pernah mendaki dan ada antara kami tiada kecergasan fizikal yang tinggi jadi ini adalah satu cabaran.

“Semua peserta mendaki ikut kemampuan dan peserta terawal yang sampai di puncak hanya mengambil masa satu jam dan paling lambat dua jam namun tiada yang menyerah kalah,” katanya.

Katanya, pendakian itu antara lain memberi peluang kepada peserta untuk lari seketika dari rutin harian dan menikmati keindahan alam semula jadi selain menghargai ciptaan Tuhan.

Pendakian yang bermula pada jam 10 pagi itu turut dibantu beberapa sukarelawan yang terdiri daripada anggota Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan kelancaran pendaki amatur.

JA yang diterajui Juliah dan Kamsiah itu adalah komuniti berdaftar berasaskan senaman dan riadah serta aktiviti senaman.

Ia dianjurkan setiap Selasa, Rabu dan Jumaat di Kompleks Sukan Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 7:28 AM