PESERTA Kembara Hulu Langat 1.0 bergambar kenangan di puncak Bukit Broga.
PESERTA Kembara Hulu Langat 1.0 bergambar kenangan di puncak Bukit Broga.
Fatin Farhana Japre


Teruja dan seronok. Itulah yang dapat digambarkan ketika penulis mengikuti program Kembara Hulu Langat 1.0 anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Tourism Selangor baru-baru ini.

Program berkonsepkan kembara santai selama dua hari itu membawa 25 pengamal media dan blogger menikmati alam semula jadi sekali gus mencuba pelbagai aktiviti menarik di sekitar Hulu Langat, Selangor itu.

Bagi anda yang mahu lari daripada kesibukan kota dan perlukan ketenangan dengan kehijauan alam semula jadi, Air Terjun Lepoh antara destinasi yang perlu dikunjungi.

Peluang mendaki puncak Air Terjun Lepoh itu atau lebih dikenali dengan nama Sungai Lopo oleh penduduk tempatan pada hari pertama program, antara pengalaman sukar penulis lupakan.

Pendakian selama sejam setengah memerlukan persediaan dari mental dan fizikal memandangkan trek menuju ke puncak air terjun ‘pacak’ hingga 45 darjah dan melalui 10 ‘checkpoint.’

Penat lelah peserta sangat berbaloi apabila berjaya tiba di puncak air terjun itu, menikmati makan tengahari sambil mendengar deruan air terjun yang mendamaikan.

Sementara perjalanan menuruni air terjun boleh dikatakan mudah kerana laluannya landai dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba di kawasan meletak kenderaan.

Program diteruskan dengan aktiviti mengocak ikan bersama penduduk tempatan, Muzammil Dahlan, 64, di Sungai Langat berdekatan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Dusun Tua.

Bagi aktiviti ini, jaring ikan perlu dipasang di kawasan bersemak kerana ikan dipercayai banyak berkumpul di situ dan selepas jaring ikan dipasang, air sungai dikocak perlahan menggunakan tangan dan kami cuba menangkap ikan yang terperangkap di dalam jaring.

Selepas seharian bermandi peluh, perjalanan diteruskan ke Orchard Santika Hulu Langat. Kami menginap satu malam di Orchard Santika yang berkonsepkan inap desa tradisional dan moden itu.

Sementara menanti malam tiba, Pengurus Orchard Santika, Nadia Suyat, 36, menyediakan aktiviti belajar mencucuk sate dan mewarna batik untuk peserta di dewan utama Orchard Santika.

Perasaan teruja kelihatan jelas kelihatan pada setiap wajah peserta ketika mewarna batik kerana kebanyakannya adalah pengalaman kali pertama peserta.

Kami diberi tunjuk ajar oleh pencanting batik berpengalaman selama lapan tahun iaitu Halijah Ishak, 57, cara mewarna batik dan asas mencanting batik secara teori.

Batik yang sudah siap diwarnakan diberi kepada peserta secara percuma sebagai tanda kenangan. Seni batik semakin dilupakan dan aktiviti ini antara cara untuk mendidik generasi muda untuk lebih menghargainya.

Usai menunaikan solat Maghrib, kami dijamu dengan nasi ambeng menu tradisi masyarakat Jawa di rumah penduduk tempatan.

Nasi ambeng dihidangkan di dalam dulang dengan nasi putih dan lauk-pauk yang ‘wajib’ ada seperti ayam ungkep, sambal goreng Jawa, keluban (kerabu sayur), ikan masin, mi goreng dan serunding.

Keunikan tradisi ini satu dulang nasi ambeng dihidangkan untuk empat orang dan makan secara beramai-ramai.

Peserta turut diberi tunjuk ajar cara membungkus nasi ambeng dan diberi beg cenderahati sebagai tanda penghargaan dari tuan rumah sebelum peserta pulang ke inap desa masing-masing untuk merehatkan badan.

Program hari kedua diteruskan dengan aktiviti yang menaikkan adrenalin iaitu mendaki Bukit Broga di Semenyih.

Seawal 6.00 pagi kami memulakan pendakian bertemankan lampu suluh dan tiba di puncak dengan ketinggian 400 meter pada 7.00 pagi.

Bukit Broga sangat sesuai untuk anda yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian kerana laluannya mudah dan hanya mempunyai empat ‘checkpoint’.

Kebanyakan pendaki adalah golongan muda yang gemar merakam gambar kenangan di puncak bukit yang berlatar belakang matahari terbit.

Walaupun laluannya mudah, ia tetap mencabar mental dan fizikal. Saat menuruni bukit peserta lebih berhati-hati bagi mengelakkan tergelincir akibat tanah lembap dan akar pokok yang menjalar.

Tepat 8.00 pagi, semua peserta selamat tiba di tempat meletak kenderaan. Perjalanan diteruskan ke pusat rawatan alternatif Qalam Laduni di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dan berakhir di Bangi Wonderland.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, semua aktiviti dan lokasi persinggahan di Hulu Langat ini dipilih sebagai usaha mempromosi Selangor dan membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

“Selain usaha mempromosikan produk pelancongan tempatan, program Kembara Hulu Langat 1.0 ini adalah platform untuk MPKj mengeratkan hubungan dengan media.

“Kita berharap media dapat bersama-sama membantu mempromosi Selangor dan meningkatkan ekonomi penduduk tempatan khususnya Hulu Langat kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 6:09 AM