AKSI peserta menyusuri lereng ketika berada di puncak Gunung Gap.
AKSI peserta menyusuri lereng ketika berada di puncak Gunung Gap.
Zulkepli Osman


BUKIT Fraser Hill bukan saja menawarkan panorama indah setanding kebanyakan lokasi percutian tanah tinggi di serata dunia, malah struktur muka buminya mempunyai gunung atau bukit boleh didaki.

Apatah lagi destinasi ini bersempadan antara Pahang dan Selangor turut popular dengan Banjaran Titiwangsa. Ia menjadi pilihan kebanyakan pendaki gunung melakukan latihan pendakian di lokasi berkenaan sebagai persediaan menghadapi gunung yang lebih mencabar.

‘Spot’ pendakian yang menarik boleh diteroka peminat sukan lasak di destinasi itu semestinya Gunung Gap dan Gunung Semangkuk. Pendakian kedua-dua gunung boleh dilaksanakan dalam satu ekspedisi yang berterusan kerana terdapat laluan menghubungkan kedua-duanya.

Terkini, 27 pendaki termasuk pengamal media dari Pahang dan Selangor, pegawai serta pelatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (Wilayah Tengah) bersama Komandannya, Md Ali Ismail mengadakan aktiviti pendakian Gunung Gap. Seterusnya pendakian ke Gunung Ulu Semangkuk pada ketinggian 1394 meter.

Dalam misi berkenaan semua pendaki yang mengambil bahagian berkumpul di Akademi Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Tengah seawal jam 7 pagi.

Seperti biasa, untuk pendakian di lokasi ini persiapan peserta termasuk mengalas perut sesuatu kemestian. Oleh itu, peserta hanya bertolak ke kawasan rehat Gap, Fraser Hill yang mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit selepas bersarapan.

BEREHAT sebentar sebelum kembali memulakan pendakian ke Gunung Ulu Semangkuk.
BEREHAT sebentar sebelum kembali memulakan pendakian ke Gunung Ulu Semangkuk.

Meskipun pendakian berkenaan tidak bermalam dan hanyalah perjalanan seharian, peserta masih perlu menitikberatkan aspek keselamatan dalam mengelak risiko kecederaan ketika mendaki.

Tambahan pula trek ini bercerun tinggi disebabkan keadaan mencanak, semestinya peserta perlu mempersiapkan keperluan iaitu mengenakan kasut dan pakaian sesuai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sudah menjadi satu keperluan bagi peserta melakukan aktiviti senaman ringan bagi memastikan tiada masalah membabitkan regangan yang akan berlaku kepada peserta ketika mula mendaki.

Malah ketika taklimat daripada Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, beliau mengingatkan peserta supaya mematuhi semua arahan jurupandu bagi memastikan perjalanan lancar dan mengikut tempoh ditetapkan.

Seawal pendakian, cabaran sedia menanti apabila peserta memulakan pendakian laluan ‘pacak’ iaitu trek mendaki yang mencanak selain laluan berakar.

Bagi melengkapkan gunung pertama itu, peserta mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam untuk tiba di puncak Gunung Gap dengan ketinggian 1183 meter. Selepas setengah jam pendakian, cuaca semakin sejuk dengan angin gunung yang kerap bertiup.

TANDA sempadan antara Pahang dan Selangor ketika mendaki Gunung.
TANDA sempadan antara Pahang dan Selangor ketika mendaki Gunung.

Selepas berehat, kami meneruskan pendakian untuk ke puncak Gunung Ulu Semangkuk. Perjalanan dijangka mengambil masa antara satu jam 45 minit hingga dua jam dengan menempuh laluan pendakian hampir 80 darjah.

Pendaki terpaksa berpaut pada akar pokok kayu yang besar dalam mengharung laluan diibaratkan ‘dada berlaga lutut.’

Setibanya di puncak Gunung Ulu Semangkuk, kami menikmati makanan tengah hari yang dibawa dan selepas dua jam di puncak kami meneruskan perjalanan untuk menuruni puncak Gunung Semangkuk dan seterusnya kembali ke Gunung Gap.

Keunikan dan keindahan Gunung Gap dan Gunung Ulu Semangkuk adalah tarikan kepada pendaki serta peminat sukan gunung yang inginkan kelainan serta panorama yang indah.

Dalam menamatkan pusingan kedua-dua gunung berkenaan, masa diambil ialah tujuh jam pada jarak tidak kurang lapan kilometer.

AKSI peserta yang merakam keindahan pemandangan dari puncak  Gunung Gap.
AKSI peserta yang merakam keindahan pemandangan dari puncak Gunung Gap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 8:50 AM