ANTARA peserta yang terbabit dengan program berkenaan bergambar di puncak Bukit Broga.
ANTARA peserta yang terbabit dengan program berkenaan bergambar di puncak Bukit Broga.
ANTARA peserta yang terbabit dengan program berkenaan bergambar di puncak Bukit Broga.
ANTARA peserta yang terbabit dengan program berkenaan bergambar di puncak Bukit Broga.

Bukan mudah menyelesaikan misi mendaki bukit mahupun gunung kerana setiap pendaki itu memerlukan mental dan semangat yang kuat untuk sampai ke puncak.

Bertambah sukar apabila pendakian dilakukan dalam suasana unik kerana mengenakan pakaian yang di luar kebiasaan ketika mendaki. Sukar digambarkan apabila perlu mengenakan baju tradisional seperti baju kurung atau baju Melayu ketika mendaki.

Namun, atas nama semangat dan keseronokan meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, seramai 40 orang terdiri daripada 38 perempuan dan dua lelaki tidak berputus asa mendaki hingga ke puncak Bukit Broga, Semenyih dengan mengenakan pakaian tradisional.

Menurut juruterapi senaman Adasandha Anuar, program Tradisi #brogaRaya yang diadakan pada 2 Ogos lalu mula dilaksanakan pada Syawal 2014 lalu.

“Program berkenaan adalah rentetan daripada Program Intensif “#fitRamadan” yang dilakukan sepanjang sebulan berpuasa. Apabila bercakap mengenai aspek pakaian ketika mendaki, ia tidak menjadi masalah asalkan kita yakin dan membuat persediaan awal.

“Bagi memastikan tiada kecederaan, setiap perkara yang membabitkan aspek keselamatan diambil kira walaupun memakai baju yang kurang sesuai ketika mendaki.

“Sebagai juruterapi senaman, saya sendiri sudah lebih 10 kali mendaki Bukit Broga dan agak mahir dengan selok-belok di sini. Justeru, walaupun berbaju raya, peserta wanita dinasihatkan memakai seluar atau legging supaya memudahkan pergerakan,” katanya.

Ujarnya, jubah antara pilihan baju raya kerana ia memudahkan pergerakan ketika mendaki. Namun, bagi peserta lelaki, mereka dinasihatkan membawa baju raya termasuk sampin dan songkok di dalam beg sebelum menukarnya apabila tiba di puncak Bukit Broga.

Bukan hanya memikirkan keunikan bagi menggalakkan masyarakat Malaysia bergerak aktif dan bersenam, pada masa sama Adasandha ingin membuktikan tiada lagi alasan untuk tidak bersenam.

Bersenam sangat mudah kerana terdapat banyak gerakan latihan yang menggunakan langkah ringkas dan mudah asalkan kita tahu mengenakan pakaian selesa serta melakukannya di tempat sesuai.

“Pada masa sama, program itu juga dilaksanakan bagi mencapai matlamat meraikan keseronokan menyambut Syawal dan mengabadikan gambar raya yang unik serta lain daripada kebiasaan,” katanya.

“Sama seperti program #fitRamadan2014, hampir setiap minggu latihan bulan puasa dilakukan di puncak Bukit Broga. Antara senaman yang dilakukan di atas bukit yang indah itu termasuk burpee, squat dan lunges.

“Ini salah satu cara ‘halus’ yang dikongsi kepada orang ramai bahawa bersenam ketika Ramadan langsung tidak memenatkan sama sekali walaupun dalam keadaan badan (perut) yang kosong dan ringan berbanding bulan lain,” katanya.

Ketika mendaki, semua peserta dinasihatkan membawa air minuman. Selain itu, plastik sampah juga turut dibawa kerana ia berguna ketika menuruni puncak bukit.

Ketika ini, peserta boleh melakukan kerja amal dengan mengutip sampah seperti bekas plastik makanan, minuman, tapak getah kasut yang tertanggal dan baki puntung rokok bagi mengekalkan kebersihan kawasan sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 12:07 PM