INGIN menyaksikan keindahan alam.
INGIN menyaksikan keindahan alam.
Oleh Aniza Zainudin


Serampang dua mata. Mencari ketenangan menyaksikan keindahan alam sambil mengeratkan ukhwah antara pelajar menerusi Ekspedisi Bukit Broga 2015 menjadi misi utama program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU).

Sebelum menghadapi ‘peperangan’ dalam peperiksaan akhir semester, program disertai 110 pelajar tempatan dan antarabangsa diadakan selama dua hari, iaitu pada 12 dan 13 Disember lalu.

Presiden MPP MEDIU, Ahmad Syazwan Zainal Abidin berkata ekspedisi berkenaan dirancang selama dua minggu, termasuk pemilihan tarikh dan lokasi pendakian.

“Ekspedisi ini dibahagikan dua hari. Hari pertama bagi pendakian 69 siswa, manakala hari kedua khusus untuk 41 siswi. Program ini diadakan sebagai persediaan mental dan fizikal peserta yang bakal menduduki peperiksaan akhir. Ia juga bertujuan mewujudkan hubungan persahabatan erat antara pelajar.

“Pemilihan Bukit Broga sebagai lokasi ekspedisi juga dilihat bertepatan untuk mempromosikan destinasi menarik di tanah air kepada pelajar asing,” katanya.

Katanya, Bukit Broga juga sesuai untuk didaki oleh pendaki amatur mahupun profesional kerana memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan MPP MEDIU, tambahan pula, program ini kali pertama dianjurkan.

Pendakian selama 45 hing­ga 50 minit itu dimulakan pada jam 6.30 pagi berjalan lancar dan peserta memperuntukkan masa kira-kira dua jam di puncak untuk melakukan aktiviti bebas.

Peserta wanita Ekspedisi Bukit Broga pada hari kedua, Khodijah Mohd Abd Hakim berjaya menamatkan pendakian Bukit Broga buat kali keempat.

“Saya sangat aktif mendaki dan kali ini juga tidak mengecewakan apabila dapat melakukan ekspedisi bersama teman sekuliah yang lain.

“Sebagai persediaan, saya turut melakukan beberapa aktiviti lasak termasuk Skytrex Extreme Challenge dan mendaki di FRIM Kepong.

“Sebenarnya pendakian ini turut memberi cabaran kepada saya. Ini kerana pendakian bermula sejurus hujan lebat, lantas laluan berlumpur dan licin,” kata siswi tahun ketiga jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan ini.

Meskipun mengenakan niqab, wanita berusia 24 tahun ini membuktikan pemakaian Muslimah sejati tidak menghalang dirinya untuk melakukan aktiviti lasak.

Selain melihat keindahan alam semula jadi, Khodijah berkata program ini dapat merapatkan hubungan silaturahim antara rakan dari fakulti yang berbeza.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Pelajar MEDIU, Prof Dr Wan Sulaiman Wan Yusoff, Ekspedisi Bukit Broga 2015 membuka perkongsian tersendiri mengenai sejarah dan keunikan Malaysia kepada pelajar asing.

“Nama Bukit Broga juga dikatakan berasal dari perkataan Buragas, sejenis makhluk besar yang mendiami kawasan ini dahulukala. Ada yang mengatakan namanya turut diambil sempena sebatang sungai, Sungai Beroga.

“Ekspedisi ini turut mendedahkan kedudukan geografi Bukit Broga. Ekspedisi ini dapat mempromosikan semangat setia kawan dan mensyukuri diri sebagai hamba Allah SWT dengan keindahan alam semula jadi.

“Disertai pelajar antarabangsa, kita boleh menyifatkan mereka ini bakal menjadi duta kecil Malaysia untuk membawa nama lokasi indah dan berharga Bukit Broga ke serata tanah air masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:00 AM