KAKITANGAN RHB sentiasa membantu Adam ketika pendakian.
KAKITANGAN RHB sentiasa membantu Adam ketika pendakian.
Oleh Hafiz Ithnin

hafizitthnin@media­prima.com.my

“Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih,” itu kata Azzrulkhan Hasbullah Matshah kepada penulis ketika ditanya apa semangatnya untuk mendaki Bukit Broga, Semenyih, Selangor, baru-baru ini.

Ternyata anak kelahiran Sarawak itu atau lebih mesra dengan panggilan Adam bukan calang-calang manusia apatah lagi dia orang kurang upaya (OKU).

Penulis yang dijemput RHB Bank untuk me­nyertai pendakian ke Bukit Broga, tidak menyangka aktiviti itu turut disertai Adam yang menghidap penyakit polio iaitu sejenis penyakit yang mengakibatkan kedua-dua kakinya lumpuh.

Adam, pelajar tahun akhir jurusan Sains Kemanusiaan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini pernah mendaki bukit setinggi 1.7 kilometer itu, tetapi hanya sampai ke bukit pertama yang jaraknya ke puncak kira-kira 700 meter.

Adam berkata, mendaki menggunakan tangan adalah sesuatu perkara yang mencabar, tetapi tetap bersyukur kerana masih diberikan kemampuan menyertai aktiviti lasak itu bersama insan lain.

Pendakiannya kali kedua dengan sokongan RHB Bank melalui aktiviti tanggugjawab korporat (CSR) di Bukit Broga, Trail Experiance (TrEx) itu memberi manfaat kepadanya dan rakan OKU mengambil bahagian.

“Saya gemar mendaki gunung, tetapi untuk melakukan perkara seperti ini bukan mudah kerana kami memerlukan kudrat lebih banyak berbanding orang lain.

“Justeru, kami sering bekerjasama dan tolong menolong, biar lambat asalkan matlamat untuk menjejak kaki ke puncak tercapai.

“Ketika pertama kali menyuarakan keinginan utuk mendaki Bukit Broga, ada kawan-kawan tidak percaya kerana menurut mereka jika orang biasa pun belum tentu, tentulah saya akan menghadapi lebih banyak kesukaran,”katanya yang juga Presiden IIMUM Ibn Ummi Maktum iaitu persatuan OKU di UIAM.

Sepanjang aktiviti pendakiannya ke Broga, dia terpaksa melalui laluan berdebu dan jalan tidak rata, namun semangatnya menyebabkan ramai pendaki lain memberikan kata-kata perangsang.

“Ada berhenti untuk mengambil gambar bersama Adam yang sentiasa tersenyum walaupun tahu pendakian itu amat memenatkan.

“Saya mungkin sampai ke puncak lebih awal jika tidak berhenti untuk mengambil gambar dengan pendaki lain, tetapi itu saya anggap sebagai penghargaan,” katanya.

Dia terharu kerana ada badan korporat seperti RHB Bank sudi menyokong aktiviti mendaki serta menjemput OKU menyertainya.

“Saya berharap selepas ini, ada syarikat korporat yang dapat membantu atau menaja saya mendaki Gunung Kinabalu,” katanya.

Untuk persediaan mendaki, dia membuat latihan yang boleh menguatkan ketahanan tangan memandangkan anggota badan itu yang menjadi pengerak utama ketika mendaki.

“Saya akan membuat aktiviti tekan tubi atau bergerak menggunakan kerusi roda manual bagi latihan tangan kerana pergerakan seharian banyak dibantu kerusi roda automatik,” katanya.

Adam juga menyasarkan sampai puncak Broga bulan ini memandangkan dua bukit sebelum ke puncak bukit itu berjaya ditawan.

“Rasa tidak puas kerana belum menawan puncak Broga, saya akan terus berusaha menawannya nanti.

“Jika berjaya sampai ke puncak Broga kali ini, saya ingin mengajak kawan OKU yang lain ke Gunung Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Tadbir Urus Kumpulan, Kumpulan Perbankan RHB, Norazzah Sulaiman berkata, melalui inisiatif Trex RHB, mereka menambah baik denai di Bukit Broga untuk kemudahan orang ramai terutama golongan belia melakukan aktiviti sihat itu.

“Aktiviti itu juga dapat dimanfaatkan kakitangan RHB bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 1:42 PM