SEREMBAN: Seorang warga emas diselamatkan anggota bomba dan penyelamat dalam kejadian banjir kilat di Kampung Chedang, Rasah di sini malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Badrotamam Abd Rahim berkata, lelaki berumur 80 tahun itu yang ketika itu berada bersama isterinya dibantu anggota bomba berikutan keadaannya yang lemah dan uzur.

Beliau berkata, kawasan perumahan mereka terletak berdekatan sebatang sungai yang dinaiki air kira-kira satu meter.

Mangsa ditempatkan di rumah berdekatan.

Lima buah kawasan perumahan terjejas dalam banjir kilat di Seremban berikutan hujan lebat yang berterusan sejak jam 6.30 petang semalam hingga 8.45 malam tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis berkata, antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Chedang, Kampung Batu Tiga, Taman Rantau, Taman Happy Garden dan Kampung Kuala Sawah yang melibatkan 57 buah rumah.

Beliau berkata, pihaknya turut membantu membersihkan lumpur di rumah yang terjejas. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 11:19 AM