LOKASI penemuan bom mortar yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua dijumpai di Kampung Chedang Rasah Seremban. FOTO IHSAN PEMBACA
LOKASI penemuan bom mortar yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua dijumpai di Kampung Chedang Rasah Seremban. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang kontraktor menjumpai sebutir bom mortar lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua berhampiran rumah di Kampung Chedang, Rasah dekat sini, semalam.

Bom berkenaan dijumpai ketika kerja membaiki longkang di kawasan perumahan berkenaan pada 4 petang.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Rasah, Yusof Othman berkata, pihaknya dimaklumkan kontraktor terbabit mengenai penemuan bom itu sebelum menghubungi pihak polis.

"Kontraktor terbabit memberitahu mengenai penemuan sebutir bom mortar ketika kerja menggali longkang bagi membaiki sistem perparitan.

"Bom itu ditemui ketika kerja mengorek tanah menggunakan jentolak dan dipercayai peninggalan zaman pemerintahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua," katanya, di sini, hari ini.

Yusof berkata, dia percaya bom terbabit dijumpai di lokasi itu kerana terdapat sebuah landasan kereta api lama di Kampung Chedang itu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada penduduk yang tinggal di kampung itu, landasan kereta api lama berkenaan itu laluan pengangkutan utama ke Seremban dan Port Dickson ketika zaman pemerintahan Jepun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan penemuan bom mortar berkenaan.

Beliau berkata, bom itu adalah jenis mortar 81 mm iaitu bom lama yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua.

"Bom itu dimusnahkan Unit Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di kuari Jalan Labu Seremban pada 7.30 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 8:14 PM