Ahmad Hasbi


Seremban: Seramai 13 beranak di Kampung Bukit Chedang, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah 100 peratus dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, tiga kenderaan turut hangus dengan kerugian keseluruhan dianggar lebih RM100,000.

Pann Kam Mooi, 67, berkata, dia terkedu apabila melihat rumahnya terbakar sebaik pulang selepas menghantar cucunya yang bekerja di Bukit Kepayang.

"Kami tinggal seramai 13 orang di rumah ini dan ketika kejadian, hanya terdapat empat cucu serta seorang menantu. Bagaimanapun, mereka semua selamat.

"Ketika dalam perjalanan pulang, ada orang kampung beritahu sebuah rumah terbakar, dan saya tidak sangka ia rumah saya sendiri.

"Lutut saya menggigil waktu itu, melihat rumah yang didiami sejak 40 tahun lalu musnah sekelip mata," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

AHLI keluarga memeriksa rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Chedang, hari ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
AHLI keluarga memeriksa rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Chedang, hari ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.

Stefanie Wong Yi Xuan, 18, pula berkata, dia dan empat ahli keluarga lain sedang tidur sebelum dia terjaga apabila merasa bahang dan terhidu asap.

"Saya buka tingkap dan melihat api marak di hadapan rumah. Saya segera mengejutkan yang lain dan kami keluar menerusi pintu belakang kerana pintu hadapan sangat panas.

"Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa, tiada harta benda, pakaian mahupun dokumen penting. Namun kami masih bernasib baik kerana tiada yang cedera dalam kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Kamarulzaman Mat Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 10.48 pagi dan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 dan Seremban ke lokasi.

"Operasi pemadaman segera dilakukan ke atas rumah berkeluasan kira-kira 100 meter persegi itu, namun ia terbakar 100 peratus.

"Kebakaran turut memusnahkan Proton Exora, van dan motosikal manakala, Proton Saga terbakar di bahagian belakang," katanya yang memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 3:54 PM