Pemilik Restauran Angah Salai, Isshanira Bahari, 38, menunjukkan injin kereta Satria miliknya yang rosak teruk akibat banjir kilat sejak awal pagi tadi di kawasan Rasah dan sekitarnya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Pemilik Restauran Angah Salai, Isshanira Bahari, 38, menunjukkan injin kereta Satria miliknya yang rosak teruk akibat banjir kilat sejak awal pagi tadi di kawasan Rasah dan sekitarnya. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Rasah: "Saya tidak kisah Proton Satria rosak selepas hanyut dibawa arus banjir atau jumlah kerugian ditanggung, yang penting pekerja saya selamat," kata pemilik Restoran Angah Salai, Isshanira Bahari, 38, ketika ditemui di premisnya di sini, tadi.

Menceritakan kejadian, Isshanira berkata, dia menerima panggilan pada awal pagi daripada pekerjanya itu yang terperangkap di asrama pekerja mereka di sekitar daerah ini.

"'Emak, tolong kami, banjir teruk di sini (Rasah), air sudah separas dada, kami takut', itu yang pekerja katakan kepada saya.

"Ketika itu, mereka berempat yang sedang tidur terkepung di asrama. Saya dan suami bergegas ke sana jam 3 pagi untuk membantu," katanya yang menerima panggilan ketika berada di cawangan Restoran Angah Salai di Port Dickson.

Bagaimanapun, menurut Isshanira, sebaik tiba, anggota bomba dan polis tidak membenarkan mereka meneruskan perjalanan kerana paras air masih tinggi.

"Sebaik banjir surut jam 5 pagi, kami terus ke asrama itu dan membawa mereka ke Port Dickson.

"Keadaan di restoran yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira dua meter sangat teruk, peralatan elektrik juga banyak yang rosak.

"Semua gerai di luar restoran hilang. Kami masih belum menganggarkan jumlah kerugian. Ketika ini, apa yang penting ialah, semua pekerja kami selamat," katanya.

Menurut Isshanira, ini kali pertama kawasan berkenaan dilanda banjir kilat sejak dia berniaga di lokasi berkenaan 10 tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro mendapati, Taman Moksum dan kawasan sekitarnya turut terjejas akibat banjir kilat.

Penduduk Taman Moksum, M Mahendran, 29, berkata, hujan lebat bermula jam 12 tengah malam sehingga jam empat pagi menyebabkan paras air meningkat lebih dua meter.

"Kami tidak sempat menyelamatkan barangan di tingkat bawah. Kereta turut ditenggelami air.

"Ini banjir kilat paling buruk berlaku sejak kami tinggal di sini lima tahun lalu," katanya yang kerugian hampir RM100,000.

Sementara itu, jururawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban (HTJS), Aisyah Zainah Anwar, 25, pula mengatakan, dia dan tiga rakannya yang menyewa sebuah rumah di kawasan perumahan itu sejak lima bulan lalu turut terjejas.

"Ketika kejadian, saya dan dua rakan yang ada di rumah manakala seorang lagi, yang juga jururawat, sedang bertugas di HTJS.

"Semua peralatan elektrik di tingkat bawah rosak, tiga kereta kami juga rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 1:49 PM