BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan mungkin melakukan pengubahsuaian semula bajet 2016 sekiranya harga minyak mentah dunia turun bawah AS$25 setong.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan tidak boleh 'menipu diri sendiri' dan harus sentiasa realistik dalam menentukan perbelanjaan negara.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Dialog Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, malam ini.

Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengambil andaian paras minyak mentah dunia

sekitar US$30-US$35 setong.

Bagaimanapun Husni berkata kemungkinan untuk harga minyak dunia jatuh terlalu rendah amat mustahil kerana negara pengeluar utama minyak mentah dunia tidak akan membiarkan keadaan itu yang boleh menjejaskan ekonomi mereka.

"Untuk harga minyak dunia jatuh sehingga AS$5 setong (contohnya) adalah mustahil kerana sebagai (negara) pengeluar minyak, mereka pasti mahu menjaga kewangan negara mereka.

"Sekiranya mereka membiarkan harga minyak terus jatuh, ia akan mengakibatkan kesan negatif kepada ekonomi mereka. Saya percaya mereka akan mengambil tindakan (untuk menaikkan semula harga minyak)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 10:59 PM