HARGA minyak mentah dunia AS$45 setong.
HARGA minyak mentah dunia AS$45 setong.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan defisit fiskal walaupun harga minyak mentah global sudah stabil sekitar AS$45 setong dan melepasi paras AS$35 yang ditetapkan pada Bajet 2016.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, masih terlalu awal untuk memastikan harga berkenaan terus stabil.

“Kami tidak tahu sama ada harga itu akan kekal stabil. Kami sedang meneliti rapat (pergerakan harga minyak) dan akan mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK.

“Tetapi dari segi defisit fiskal, kita mempunyai sedikit ruang kerana dengan harga minyak yang lebih tinggi kita boleh melaksanakan lebih banyak program dan projek,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Meningkat oleh Malaysia Debt Ventures Bhd di sini, semalam.

Sementara itu di bawah bajet 2016 yang diubah suai, ekonomi diunjurkan tumbuh di antara 4.0 dan 4.5 peratus tahun ini, berdasarkan andaian harga minyak berada di antara US$30 dan US$35 setong.

Kerajaan juga merancang untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus daripada KDNK berbanding 3.2 peratus tahun lalu.

Mohd Irwan berkata, terdapat banyak faktor mempengaruhi pergerakan harga minyak mentah seperti perkembangan semasa di Amerika Syarikat di mana pengeluar minyak bergegas kembali ke pasaran.

“Kami bimbang (pengeluar) gas shale dan minyak shale akan kembali ke pasaran berikutan harga yang lebih tinggi. Kerajaan tidak akan melaksanakan sebarang langkah rasionalisasi atau rangsangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 6:46 AM