HARGA runcit minyak  RON95 mungkin turun sehingga RM1.32 seliter jika purata harga penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$35 setong.
HARGA runcit minyak RON95 mungkin turun sehingga RM1.32 seliter jika purata harga penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$35 setong.
Alzahrin Alias dan Hazwan Faisal Mohamad


KEJATUHAN mendadak harga minyak dunia ekoran perang harga di antara pengeluar utama minyak dunia iaitu Arab Saudi dan Russia dilihat akan memberi kesan yang lebih negatif kepada Malaysia berbanding kesan positif, demikian mengikut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu dalam notanya turut menjangkakan yang kerajaan baharu kali ini berkemungkinan besar akan menyemak semula Belanjawan 2020 susulan kejatuhan ketara harga komoditi berkenaan.

Katanya, penyusutan harga minyak dunia akan memberi tekanan kepada kapasiti fiskal Malaysia memandangkan Belanjawan 2020 sebelum ini dirangka berdasarkan andaian harga minyak dunia ialah AS$62 setong.

“Susulan daripada itu, kerajaan dijangka akan menyemak semula belanjawan yang dibuat sebelum ini dan boleh dilihat mungkin akan berlaku pengurangan dalam perbelanjaan dan pelaburan kerajaan.

“Dari sudut positif pula, harga runcit minyak terutama RON95 mungkin akan turun sehingga RM1.32 seliter jika purata harga penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$35 setong.

“Ia juga akan memberi tekanan kepada inflasi untuk kekal rendah dan mampu menyokong penggunaan domestik,” katanya di sini, semalam.

Bagi sektor perlombongan, MIDF Research berkata, pihaknya berpandangan yang sektor terbabit akan terus memperlahan ditengah-tengah permintaan yang lemah dan kejatuhan mendadak harga minyak dunia.

“Keperlahanan di dalam sektor perlombongan akan menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan ketara disebabkan oleh kandungan nilai tambahnya yang tinggi.

“Pada tahap ini kami menjangkakan yang pertumbuhan KDNK akan berada di bawah tekanan pada tahun 2020,” katanya.

Sementara itu, OCBC Treasury Research dalam nota penyelidikannya berkata, harga minyak mentah dunia berpotensi menjunam ke pasar AS$30 setong jika kemelut OPEC + tidak berakhir.

Bahagian penyelidikan OCBC itu berkata, berikutan kegagalan mencapai persetujuan mengenai pengeluaran antara Russia dan OPEC pada Jumaat lalu, harga minyak mentah dunia dijangka kekal rendah dalam jangka pendek.

“Russia mempunyai kos marginal pengeluaran minyak yang lebih rendah daripada Arab Saudi, iaitu kos fiskal pulang modal AS$42 setong, setengah lebih rendah daripada AS$83 setong oleh Arab Saudi.

“Ini membolehkan Russia mengalahkan Arab Saudi pada perlawanannya sendiri, walaupun disokong kuat oleh anggota OPEC untuk melaksanakan pengurangan pengeluaran pada mesyuarat OPEC + pada Jumaat lalu.

“Kos purata pengeluaran di OPEC ialah kira-kira AS$30 setong, yang dijangka harga Brent akan jatuh ke paras berkenaan dalam jangka pendek,” katanya.

Russia keluar daripada menjadi sekutu rapat OPEC dengan memotong pengeluaran minyak selepas OPEC + mengadakan pertemuan pada Februari dalam mesyuarat kecemasan untuk membincangkan pemotongan pengeluaran disebabkan penularan COVID-19.

Russia bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan 600,000 tong sehari (bpd) yang dicadangkan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 7:20 AM