Malaysia menyertai negara OPEC lain untuk mengurangkan pengeluaran minyak dunia. FOTO AFP
Malaysia menyertai negara OPEC lain untuk mengurangkan pengeluaran minyak dunia. FOTO AFP
Rizanizam Abdul Hamid

MALAYSIA akan cuba mendapatkan sokongan negara-negara pengeluar minyak kecil di Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dalam usaha menstabilkan harga minyak.

Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlepas ke Vienna, Austria malam ini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan bukan OPEC esok berkata, keputusannya akan dimaklumkan selepas pertemuan itu.

“Kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada meneruskan pengurangan pengeluaran minyak sebanyak 20,000 tong sehari atau sebaliknya.

“Kita diminta mengurangkan pengeluaran sebanyak 20,000 tong sehari dan persetujuan itu tamat Disember ini.

“Kita akan bincangkan soal ini dengan lebih lanjut sama ada mahu meneruskan persetujuan itu atau menjadikannya perbincangan lebih rasmi di Vienna,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada Belanjawan 2019 yang menggunakan anggaran AS$70 setong perlu disemak semula susulan kejatuhan harga minyak sejak Oktober lalu.

Mohamed Azmin enggan membuat kesimpulan secara tergesa-gesa berhubung perkara itu.

“Belanjawan dirangka berdasarkan harga AS$70 setong dan harganya sudah jatuh,” katanya.

Ketika ini harga minyak mentah Brent didagangkan pada kadar AS$60 setong.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019 bulan lalu, kerajaan meramalkan purata harga minyak adalah AS$70 setong.

Mei tahun lalu, Malaysia menyatakan komitmennya menyertai negara OPEC lain untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 20,000 tong sehari untuk menstabilkan harga minyak global.

OPEC bersama pengeluar bukan OPEC diketuai Russia sudah mengekang pengeluaran sejak awal tahun ini dalam usaha mengurangkan inventori global dan menyokong harga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 9:20 PM