RIVERA mendukung anaknya dalam satu perlawanan baru-baru ini.
RIVERA mendukung anaknya dalam satu perlawanan baru-baru ini.

Madrid: Seorang matador digelar David Beckham di gelanggang lawan lembu mencetuskan kontroversi apabila menunjukkan bakatnya sambil menggendong bayi perempuannya berusia lima bulan.

Francisco Rivera, 42, yang juga rakan Beckham, memuat naik gambar di Instagram menunjukkan aksinya bersama lembu itu yang berada beberapa inci dari anaknya Carmen.

Bapa dua anak itu turut menyertakan keterangan: “Kemunculan pertama Carmen. Dia generasi kelima matador dalam keluarga kami.

“Datuk dan ayah saya masing-masing matador, malah ayah juga berbuat begini dengan saya.

“Saya meneruskan tradisi ini dengan anak sulung, Cayetana dan kini bersama Carmen.”

Gambar itu bagaimanapun mencetuskan reaksi di laman media sosial.

Pengkritik, Pedro Sanchez berkata: “Ia tiada kaitan dengan seni laga lembu. Dia meletakkan nyawa seorang budak dalam bahaya.

“Tidak kisahlah jika dia mahu membahayakan nyawanya sendiri, tetapi dia tidak sepatutnya membahayakan nyawa anaknya.”

Rivera sering dibandingkan dengan Beckham disebabkan popularitinya di luar bidang kerjaya.

Dia pernah menjadi model iklan berprofil tinggi termasuk untuk jeans serta jam, selain kerap menghiasi majalah Hola yang memaparkan kehidupan golongan kelas atasan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:55 AM