CARMEN dinobatkan Olahragawati Paralimpik Wanita di ASN 2022. -FOTO NSTP
CARMEN dinobatkan Olahragawati Paralimpik Wanita di ASN 2022. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun masih segar dengan memori indah ditabalkan sebagai Olahragawati Paralimpik Wanita di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 Selasa lalu, Carmen Lim mahu beralih tumpuan secepatnya kepada pertandingan antarabangsa terutamanya ia membabitkan tiket ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Menurut perenang para itu, jikalau boleh dia mahu mengesahkan tiket awal ke temasya berkenaan apabila beraksi di Kejohanan Renang Para Dunia di Manchester, England dari 31 Julai hingga 6 Ogos ini.

"Bagaimanapun, saya akui ia bukan tugas mudah apabila perlu merakamkan masa 33.08 saat (s) acara 50 meter (m) gaya bebas SB8 bagi melepasi had kelayakan ke Paris," katanya.

Ujar Carmen, memang agak sukar untuk mencapai had kelayakan ketika ini kerana catatan peribadi terbaiknya adalah 34.43s.

"Saya berjaya menurunkan catatan masa saya satu setengah saat sejak tahun lalu antara Sukan Para Asean dan kejohanan yang berlangsung baru-baru ini.

"Jika saya dapat mengikut trajektori yang ditetapkan, saya percaya boleh memperbaiki lagi catatan masa di Kejohanan Dunia tahun ini sekali gus melepasi had kelayakan," kata Carmen.

Carmen dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik di ASN 2022 berdasarkan pencapaiannya yang memenangi satu pingat emas dalam acara 100m kuak dada SB8 dan satu perak bagi acara 50m gaya bebas S8 di Sukan Para Asean Solo 2022.

Dia berjaya mempertahankan emas 100m kuak dada SB8 di Sukan Para Asean Hanoi 2023 selain meraih emas 50m gaya bebas SB8 dan satu gangsa 100m gaya bebas S7-8.

Mengulas mengenai pencapaiannya dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik, Carmen sama sekali tidak menjangkakannya memandangkan dia hanya kembali beraksi di pentas antarabangsa tahun lalu selepas tiga tahun berehat.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Sudah tentu anugerah ini meningkatkan motivasi untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 1:23 PM