NAYA Rivera. FOTO fail AFP
NAYA Rivera. FOTO fail AFP
AFP

Los Angeles: Pelakon Glee Naya Rivera ditemui lemas di Tasik Piru di California, pada Isnin.

Ia selepas dia dilaporkan hilang selepas menaiki bot untuk bersiar-siar dengan anak lelakinya, pada Rabu minggu lalu.

Sherif daerah Ventura Bill Ayub berkata, mayat itu disahkan berdasarkan pakaian mangsa.

Bagaimanapun, setakat ini, pihaknya tidak menemui sebarang bukti menunjukkan kes itu ada undur jenayah.

"Kami percaya itu mayat Rivera," katanya dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Rivera, 33, dilaporkan hilang di tasik itu selepas menyewa sebuah bot untuk bersiar-siar dengan anak lelakinya.

Bagaimanapun, tiga jam kemudian, seorang saksi melihat hanya anaknya berada di dalam bot yang hanyut.

Ketika ditemui, anaknya itu sudah tertidur di dalam bot berkenaan.

Anaknya itu memberitahu mereka sebelum itu berenang tetapi ibunya tidak kembali ke bot.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Rivera sebelum ini membintangi Glee, drama bersiri popular mengenai sekolah tinggi di Amerika Syarikat selama enam musim sebelum ia berakhir pada 2015.

Rivera dan bekas suaminya berpisah pada 2018.

Dalam pada itu, dua bintang siri sama sebelum ini juga meninggal dunia.

Mark Salling membunuh diri pada 2018, beberapa minggu sebelum menunggu hukuman atas kesalahan memiliki pornografi kanak-kanak.

Cory Monteith pula meninggal dunia pada Julai 2013 kerana terlebih dos dadah dan alkohol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:46 AM