KEMBAR siam, Lupita Andrade dan Carmen Andrade. FOTO Instagram
KEMBAR siam, Lupita Andrade dan Carmen Andrade. FOTO Instagram
Agensi

Washington: Kembar siam Lupita Andrade dan Carmen Andrade yang dilahirkan di Mexico pada 2002 sudah berkongsi tubuh selama lebih dua dekad.

Tetapi mereka berazam untuk memanfaatkan lagi kehidupan mereka dengan sebaik mungkin walaupun menghadapi cabaran.

Adik-beradik perempuan berusia 22 tahun itu berkongsi jantung, paru-paru dan perut yang sama turut disambungkan pada batang tubuh yang sama.

Ia menjadikan mereka berkongsi sistem pelvis serta pembiakan.

The Straits Times melaporkan kembar memberitahu akhbar harian Amerika Syarikat (AS), Today, bahawa mereka masing-masing mempunyai personaliti berbeza, tetapi bersama-sama mereka membentuk pasukan yang baik.

Sebagai contoh, semasa membawa kenderaan, Carmen melakukan pemanduan kerana dia mengawal kaki kanan, manakala Lupita pula bertanggungjawab memilih lagu dan navigasi.

Kedua-dua wanita itu berpindah ke Amerika Syarikat dari Mexico ketika mereka masih bayi dan kini tinggal di Connecticut, AS.

Carmen berkata, dia sudah berpacaran dengan teman lelakinya Daniel McCormack selama dua tahun setengah selepas mereka bertemu melalui aplikasi janji temu.

Lupita pula adalah asexual iaitu seseorang yang tidak mengalami perasaan atau keinginan seksual, atau yang tidak tertarik secara seksual kepada sesiapa.

Carmen berkata, dia tidak pernah cuba menyembunyikan fakta bahawa mereka adalah kembar siam.

"Ia bermakna saya mendapat banyak mesej daripada lelaki yang mempunyai fetish (satu bentuk keinginan seksual di mana kepuasan berkait kuat dengan objek atau aktiviti tertentu atau bahagian badan selain daripada organ seksual).

"Daniel berbeza daripada orang lain kerana dia tidak memimpin perhubungan kami dengan soalan mengenai keadaan saya," katanya.

Apabila Carmen ingin meluangkan lebih banyak masa bersama teman lelakinya, dia membenarkan kakaknya Lupita yang memilih ke mana mereka pergi dan aktiviti yang mereka lakukan.

Pasangan kembar siam itu ada bercakap mengenai hal pertunangan, tetapi buat masa mahu hidup bersama dahulu.

"Daniel dan saya suka kanak-kanak. Tetapi kami tidak mahu anak-anak kami sendiri. Saya dan Lupita tidak boleh hamil, kami menghidap endometriosis.

"Kami juga menggunakan penghalang hormon yang menghalang kami daripada datang haid," kata Carmen.

Pasangan kembar itu berkata, ibu bapa mereka menganggap adanya keperluan pembedahan pemisahan ketika mereka masih muda tetapi tidak meneruskannya kerana ia terlalu berisiko.

Lupita berkata, terdapat kemungkinan mereka berdua boleh meninggal dunia atau berada dalam keadaan kritikal akibat pembedahan kerana mereka berkongsi banyak organ dalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 11:10 AM