KETUA Menteri, Lim Guan Eng (empat dari kiri) bersama Aireen (tiga dari kiri) menyambut ketibaan penumpang dari bandar Ho Chi Minh, semalam.
KETUA Menteri, Lim Guan Eng (empat dari kiri) bersama Aireen (tiga dari kiri) menyambut ketibaan penumpang dari bandar Ho Chi Minh, semalam.

Bayan Lepas: AirAsia Berhad (AirAsia) memperkenalkan laluan baru penerbangannya dari Pulau Pinang terus ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam dalam usaha menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, laluan baru itu memberi peluang kepada pelancong dari Ho Chi Minh datang terus ke Pulau Pinang tanpa perlu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penerbangan pertama dari bandar Ho Chi Minh ke Pulau Pinang, kelmarin melengkapkan tujuh destinasi antarabangsa yang berhubung terus ke negeri ini.

“Laluan ke Ho Chi Minh adalah laluan ketujuh destinasi AirAsia terus ke Pulau Pinang. Destinasi antarabangsa sebelum ini termasuklah Singapura, Bangkok, Jakarta, Medan, Yangon dan Surabaya.

“Laluan baharu ini dijangka dapat memberi peluang kepada penduduk di Pulau Pinang untuk melancong ke Vietnam,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, kelmarin.

Aireen berkata, penerbangan ke bandar Ho Chi Minh akan ditambah sekiranya purata penerbangan dari Pulau Pinang ke Ho Chi Minh dan Ho Chi Minh ke Pulau Pinang menunjukkan peningkatan.

“Untuk sementara waktu ini, pihak AirAsia hanya menyediakan empat penerbangan dua arah dari Ho Chi Minh ke Pulau Pinang bagi seminggu. Jika terdapat peningkatan, AirAsia akan menjadikan penerbangan dua hala berkenaan setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 6:44 AM