Kuala Lumpur: AirAsia, mengumumkan penerbangan terus ke Guangzhou, China dari Langkawi bermula semalam (20 November 2015), secara rasmi mengangkat Langkawi sebagai hab antarabangsa terkini di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata, pihaknya yakin dengan penerbangan terus ini yang akan meningkatkan kadar trafik Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang buat masa ini hanya mempunyai satu laluan antarabangsa ke Singapura sahaja.

“Berikutan pengumuman yang dibuat mengenai Langkawi sebagai hab antarabangsa AirAsia pada bulan Mac tahun ini, kami sangat berbesar hati akhirnya dapat memenuhi janji itu dengan penerbangan terus ke Guangzhou, China dari Langkawi.

“Langkawi menerima lebih tiga juta pelancong setiap tahun dan kami mengunjurkan untuk menyumbang terhadap pembangunan pulau ini dan secara tidak langsung meletakkannya di peta global sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, di sini.

Menurutnya, sempena kempen Discover Kedah 2016, AirAsia bekerjasam dengan pihak berkuasa tempatan seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan juga rakan kerjasama lain di Langkawi untuk terus membangunkan pulau percutian Langkawi.

Penerbangan terus ke Guangzhou, China dari pulau percutian terbabit dijangka memulakan operasi pada 24 Januari 2016 dengan penerbangan empat kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:11 AM