SHAH Rukh Khan berpindah dari New Delhi ke Mumbai supaya diri sentiasa sibuk sekali gus tidak terlalu ingat arwah ibu.
SHAH Rukh Khan berpindah dari New Delhi ke Mumbai supaya diri sentiasa sibuk sekali gus tidak terlalu ingat arwah ibu.

Kembara seni Datuk Shah Rukh Khan, 50, atau lebih popular dengan nama singkatan SRK bermula di kaca TV sekitar 1988. Bakatnya mula mendapat perhatian penggiat dan pengarah di Bollywood selepas membintangi drama Fauji diikuti Dil Dariya, Circus, Idiot dan Umeed.

Sepanjang aktif berlakon drama, SRK langsung tidak terfikir untuk membintangi filem walaupun ada beberapa tawaran. Aktor itu berasa dirinya belum cukup bagus untuk beraksi di layar lebar ketika itu.

Pada 1991, SRK berubah fikiran apabila membuat keputusan drastik untuk berlakon filem dan berpindah dari New Delhi ke Mumbai demi mengejar impian.

Menariknya keputusan itu diambil kerana SRK mahu membuatkan dirinya sibuk agar tidak terlalu mengingati arwah ibunya yang meninggal pada tahun sama.

Dil Aashna Hai arahan Hema Malini adalah filem pertama ditawarkan kepada SRK, namun namanya mula menyinar sebagai bintang filem pada 1992 menerusi Deewana.

Menurut pengkritik, kemunculan SRK sebagai pelakon filem telah memberikan satu perubahan besar dalam industri perfileman di India.

Pelakon yang menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka itu bukan hanya mencipta nama di India tetapi seluruh dunia.

Selepas kejayaan Deewana, SRK banyak membintangi filem dan antara yang paling berjaya di pasaran antarabangsa, Kuch Kuch Hota Hai dan Kabhi Khushi Kabhie Gham. Malah sehingga kini dua karya hebat dibintangi­nya itu masih menjadi kegilaan ramai.

Tidak hanya terkenal dengan watak baik, SRK juga pernah memegang karakter antagonis dalam filem Darr, Anjaam dan Baazigar yang juga karya pertama meng­gandingkan SRK dengan Kajol.

Menerusi filem itu, SRK memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Film­fare Award. Bapa kepada Aryan dan Suhana ini, pernah menggemparkan industri hiburan dunia apabila berlakon tanpa seurat benang dalam filem Maya Memsaab.

SRK berdepan dugaan dalam kerjayanya pada 1999 hingga 2003 apabila tiada tawaran berlakon filem diterima. Baadshah adalah satu-satunya filem dibintangi aktor itu pada 1999.

Tidak betah duduk diam tanpa bekerja, SRK membuat keputusan untuk menjadi penerbit filem dan berkolaborasi dengan aktres jelita, Juhi Chawla menerbitkan Phir Bhi Dil Hai Hindustani yang ditayangkan pada 2000.

Filem itu dikatakan kurang mendapat sambutan kerana pendatang baru Hrithik Roshan mula mendapat perhatian ramai. Di bawah syarikat penerbitannya, Dreamz Unlimited, SRK muncul dengan karya baru bergenre epik, Asoka.

Asoka turut ditayangkan di Festival Filem Venice dan Festival Filem Antarabangsa Toronto sekitar 2001 dan mendapat maklum balas positif. Berbeza apabila ditayangkan di tanah kelahirannya sendiri apabila ia dikritik hebat. Filem itu tidak berjaya tersenarai dalam filem pecah panggung di India.

Populariti SRK kembali mendadak naik apabila muncul dalam filem cinta Mohabattein dan karya kekeluargaan Kabhi Khushi Kabhie Gham. Filem Devdas turut membantu mengukuhkan kedudukannya dalam industri perfileman Bollywood dan dunia.

Filem terbaru lakonan SRK dan Kajol, Dilwale kini ditayangkan di pawagam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:02 AM