ANTARA aksi yang mengesankan dalam DDLJ.
ANTARA aksi yang mengesankan dalam DDLJ.

Tanggal 19 Oktober 2015, genap 20 tahun filem cinta paling agung, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ) diterbitkan. Filem itu juga mencatat sejarah luar biasa apabila ditayangkan selama 1,000 minggu di panggung wayang Marathi Mandir, Mumbai. Durasi tayangan sangat panjang itu berakhir pada 12 Disember 2014.

Filem terbitan Yash Raj Films Production, arahan anaknya, Aditya Chopra menggandingkan Datuk Shah Rukh Khan (SRK) dan Kajol yang kemudian muncul sebagai antara pasangan paling romantik dalam sejarah Bollywood.

Bagi mengenang kembali kegemilangan DDLJ yang menyambut ulang tahun ke-20, filem itu dibuat semula dengan mengekalkan 100 peratus jalan cerita, pelakon, kru, pereka fesyen, komposer dan semua yang terbabit ketika pembikinannya dua dekad lalu.

Banyak sejarah tercipta menerusi filem itu. DDLJ mendapat tempat yang begitu istimewa di hati peminat filem Bollywood kerana memberi takrifan yang berbeza mengenai percintaan.

Ketika Aditya berjumpa Kajol untuk melamarnya membintangi pembikinan semula DDLJ, aktres itu memberi kenyataan kepada The Hindustan Times, tak mungkin filem sehebat itu boleh dibuat semula.

Menurut Kajol, filem itu adalah kenangan paling indah.

“Setiap babak yang saya lakonkan adalah kenangan yang sukar diulang. Apabila menonton semula filem ini, saya teringat apa yang berlaku pada setiap babak. Filem ini dirakamkan di India, London dan Switzerland. Semua yang terbabit dalam produks ini sangat seronok sepanjang penggambaran,” katanya.

Ujar Kajol lagi, ketika itu tiada yang berasakan diri mereka besar atau kecil.

“Kami semua sama saja, tiada siapa yang lebih atau kurang popular. Kami orang yang yakin dengan kerja kami dan tidak pernah cuba bersaing sesama sendiri,” katanya.

Mendiang Yash Chopra menyifatkan filem itu sebagai fenomena yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

DDLJ mencipta kejayaan tidak diduga apabila mendominasi 10 trofi pada Anugerah Filmfare termasuk kategori Filem Paling Popular Terbaik.

Fakta lain yang perlu anda tahu mengenai filem ini:

Pada mulanya Adity mahu mengambil Tom Cruise melakonkan watak Raj demi menjalinkan hubungan baik India dan Amerika Syarikat, tetapi Yash Chopra berkeras mahukan hero Bollywood. Khabarnya, watak Raj pernah ditawarkan kepada Saif Ali Khan, tetapi aktor itu menolak dan SRK adalah pilihan kedua.

SRK pada mulanya menolak tawaran itu kerana menganggap watak Raj terlalu ‘lembut’. Aditya bagaimanapun meyakinkan SRK, dia hanya boleh menjadi bintang terkenal jika melakonkan watak lelaki idaman wanita. Kata-kata Aditya menjadi kenyataan apabila nama SRK menjadi pujaan ramai bahkan dia dan Kajol dilabel sebagai gandingan paling romantis dan serasi.

Amrish Puri dan Farida Jalal serasi sebagai pasangan berbangsa Punjabi dan masih berpegang kuat pada budaya meskipun menetap di London. Buat pertama kali Karan Johar buat penampilan khas dalam filem sebagai rakan Raj.

Lagu Tujhe Dekha To Yeh Jaana Sanam gubahan Jatin Lalit adalah gambaran cinta sejati.

Aksi romantik Raj dan Simran saling berpanda–ngan di stesen kereta api adalah babak cinta paling ikonik.

Selepas digandingkan dalam DDLJ, SRK dan Kajol dipertemukan lagi dalam filem filem Baazigar dan Karan Arjun, tetapi DDLJ lebih melekat di hati penonton.

Pelakon lain turut membintangi DDLJ adalah Anupam Kher, Satish Shah, Parmeet Sethi, Mandira Bedi, Achla Sachdev, Himani Shivpuri dan Pooja Ruparel.

Kajol segan berkemban ketika menari dan menya–nyikan lagu Mere Khawabo Mien Jo Aaye dan SRK mencadangkan babak aksi pada penamat cerita.

Aditya menamakan watak hero sebagai Raj sempena nama Raj Kapoor dan judul filem itu pula diberikan isteri Anupam Kher iaitu Kirron Kher.

Mere Khwaboon Mein Jo Aaye adalah lagu pertama yang dirakam dan diubah beberapa kali sehingga ia kendengaran sempurna.

Lagu Mehndi Laga Ke Rakhna dibuat untuk filem lain, tetapi terpilih untuk DDLJ dan terus popular.

Sinopsis DDLJ

Walaupun keluarga Simran (Kajol) menetap di luar negara, mereka yang berdarah Punjabi sangat menitikberatkan adat dan budaya bangsa. Simran tidak sebebas gadis lain apatah lagi soal berpacaran.

Suatu hari rakan-rakan Simran mengajaknya bercuti di Eropah dan daripada situ dia mula mengenal erti cinta apabila terserempak dengan Raj (SRK) yang turut bercuti di sana.

Ketika percutian mereka berakhir, Simran teringatkan ketegasan bapanya dan terpaksa menafikan perasaan terhadap Raj, namun rasa cinta yang mekar mewangi tidak mampu ditolak gadis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 12:19 PM