MAHU terus beri sokongan kepada anak tunggal, Yaseen.
MAHU terus beri sokongan kepada anak tunggal, Yaseen.
Amirul Haswendy Ashari


Resam pelakon berusia, sering diberi watak ibu, bapa, nenek atau datuk. Situasi itu bukan saja berlaku dalam produksi tempatan, malah industri Bollywood.

Antara yang menerima kesan ialah Farida Jalal, 67, yang cukup dikenali wataknya sebagai Mrs. Khanna, ibu Shah Rukh Khan dalam Kuch Kuch Hota Hai dan watak pengasuh Shah Rukh Khan bernama DJ dalam filem Kabhi Khushi Kabhie Gham.

Berlakon dalam filem I Am Not Terrorist yang mula ditayangkan Khamis lalu, pelakon berdarah kacukan Hindustan dan Iraq ini datang ke Kuala Lumpur, baru-baru ini, untuk promosi filem itu.

Melihat wajahnya, tentu ramai mengenalinya yang menjadi ibu dan nenek kepada ramai pelakon popular dalam filem. Dua filem itu antara 200 lebih filem Bollywood yang menggunakan Farida sebagai watak pembantu.

Bagaimanapun, kata Farida, sejak beberapa tahun lalu, watak ibu atau nenek sudah tidak lagi ditulis untuknya dan barisan pelakon seusia lain.

“Berapa banyak filem baru yang mewujudkan watak ibu atau nenek? Hampir tiada! Semua watak dicipta untuk orang muda dan watak mereka tidak mempunyai latar belakang mengenai siapa ibu atau bapa mereka.

“Kadangkala saya dan rakan seusia seperti Jaya Bachchan bertanya, kenapa watak itu tidak lagi dicipta? Apakah watak ibu atau nenek tidak lagi diperlukan untuk menyokong jalan cerita sesebuah filem?” katanya.

Mula berlakon melalui filem Taqdeer pada 1967 dia mempunyai banyak lagi warna watak yang mahu ditunjukkan bukan sekadar watak klise.

Dia pernah membuktikannya melalui filem Mammo (1994) memegang watak utama sebagai Mehmooda Begum dan menang Persembahan Terbaik di Anugerah Kritik Filmfare pada 1995.

Katanya, sebagai pelakon, dia mahu menonjolkan sisi lakonan berbeza tetapi malangnya wanita kurang mendapat peluang.

“Pelakon lelaki sering diberi watak pelbagai dan saya juga ingin jadi peguam sebab pandai bercakap atau doktor sebab nak beri bahasa tubuh berbeza. Malangnya perkara itu tidak berlaku dan ia menyedihkan.

“Berapa banyak lagi watak ibu yang boleh dibuat? Tapi saya masih buat! Itulah situasi yang perlu ditelan. Saya sudah ‘explore’ banyak watak ibu dan pada usia ini, itulah yang saya boleh buat,” katanya.

Selama 47 tahun bergelar pelakon, Farida bersyukur sebab menjadi sebahagian daripada legenda Bollywood. Dalam tempoh itu, dia tidak menghadapi masalah langsung sebab tahu batas.

Katanya, dia pernah tinggalkan industri lakonan selama lapan tahun sebab mengikut arwah suami, Tabrez Barmavar yang membuka kilang di Bangladesh.

Apabila suaminya meninggal pada 2003, dia kembali semula ke industri bersama anak tunggal mereka, Yaseen, 32, dan bersyukur kepulangannya sangat dialu-alukan.

Sering dilabel ‘sweetheart’ oleh peminat, Farida ketawa kerana berasakan jolokan itu terlalu besar buatnya.

Katanya, dia bukanlah ‘semanis’ yang disangka peminat kerana setiap lakonan atas kehendak pengarah dan skrip.

“Saya gembira walaupun ada limitasi, jika suka buat maka lakukannya dengan gembira dan ikhlas. Saya mungkin sekadar ada dua tiga babak sahaja tetapi bagaimana untuk pastikan diingati, itu adalah kerja saya.

“Apabila berikan persembahan terbaik, kru selesa bekerja dengan kita dan akan buka peluang lain selepas ini,” katanya.

Ditemani anaknya, Yaseen, Farida sangat menyayangi anak tunggalnya dan memberi sokongan padu terhadap apa saja impian yang mahu dicapai.

Katanya, Yaseen baru saja berjinak-jinak dalam bidang produksi dan dia pula masih berlakon tapi dengan cara sendiri.

“Apabila saya suarakan pasal kahwin dan mahukan cucu, anak saya minta berikannya sikit masa kerana mahu pastikan produksinya berjaya terlebih dulu.

“Harap projek berjalan lancar tahun depan supaya dapat melihatnya berkahwin dan memiliki anak,” katanya.

Membesar dalam keluarga kecil membuatkan Farida lebih menghargai kasih sayang dan berkorban demi anak.

Katanya, ibu bapanya bercerai ketika usianya dua tahun, lantas meninggalkan Farida membesar dengan kasih seorang ibu, nenek dan abang saja.

Selama tempoh itu, neneknya mengambil tempat sebagai bapa dalam keluarga. Malah, pengalaman perceraian ibu bapa juga, dia bekerja lebih keras sejak remaja bagi mencari duit melalui minat mendalam dalam dunia lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 2:19 AM